Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, 10 April 2012

Kesal kerenah kerajaan negeri


Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

Penduduk taman perumahan di kawasan DUN Kota Alam Shah mengadakan perhimpunan aman mendesak kerajaan negeri bertindak segera mengatasi masaalah banjir yang sering berlaku di kawasan perumahan mereka, di Klang semalam.

KLANG 8 April - Bosan dengan kerenah kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang sering menyalahkan pihak lain dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap kejadian banjir yang berlaku di kawasan mereka minggu lalu membuatkan kira-kira 100 penduduk dari beberapa taman perumahan di sini berhimpun secara aman untuk menunjukkan rasa kecewa mereka.

Mereka mendesak supaya Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berhenti daripada menuduh antara satu sama lain, sebaliknya kedua-dua agensi berkenaan perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Wakil penduduk, R. Selvaraju berkata, mereka tidak mahu lagi mendengar pelbagai alasan tetapi sebaliknya mengharapkan pihak bertanggungjawab daripada agensi berkaitan supaya bertindak segera agar banjir tidak berulang di kawasan mereka, yang berada di dalam kawasan Parlimen Kota Alam Shah.

Selvaraju berkata, sekiranya masih tidak ada sebarang tindakan diambil, pihaknya melalui persatuan penduduk akan meminta campur tangan kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar keluhan mereka dapat didengari sekali gus jalan penyelesaian dapat dicari.

"Kami mohon supaya MPK dan JPS duduk berbincang serta bekerjasama dalam mencari jalan menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi penduduk dan bukannya hanya tuduh-menuduh," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan aman itu di Taman Palm Grove di sini hari ini.

Banjir teruk yang berlaku di sini pada 30 Mac lalu menjejaskan kehidupan harian penduduk termasuk lebih 5,000 pelajar di lapan buah sekolah menengah serta rendah yang terpaksa bercuti apabila sekolah mereka diarah ditutup ekoran bencana itu.

Kejadian banjir kilat itu merupakan yang kedua melanda Klang dalam tempoh tiga hari selepas kejadian sama berlaku pada 27 Mac lalu dan ia disifatkan lebih buruk apabila kawasan yang dinaiki sebelum ini semakin teruk terjejas.

Antara tempat yang terlibat dalam kejadian itu ialah Kampung Delek, Kampung Sungai Udang, Taman Sentosa, Taman Chi Liung, Pandamaran dan Padang Jawa.

Seorang lagi penduduk, Abdul Aziz Jalaludin pula menggesa pihak yang bertanggungjawab membuat satu siasatan terperinci bagi menyiasat punca berlakunya kejadian banjir itu selain berharap supaya sikap tuduh-menuduh itu dihentikan.

Selain itu, Abdul Aziz turut mencadangkan beberapa perkara yang dapat membantu menyelesaikan masalah banjir di daerah ini.

"Pihak bertanggungjawab diminta mengkaji punca berlakunya banjir dan saya lihat mereka perlu membesarkan parit supaya ia dapat menampung air yang lebih banyak setiap kali hujan selain mengurus masalah sampah dengan lebih baik," ujarnya.

Teh Teong Guan pula menggesa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan butiran perbincangan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) agar rakyat tahu perancangan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah banjir itu.

"Sebelum ini Menteri Besar kata masalah banjir ini akan dibincangkan dalam MTES yang diadakan pada Khamis lalu (5 April), jadi kami nak tahu apa yang dibincangkan oleh mereka itu.

"Jika kerajaan negeri kononnya memperjuangkan kebebasan maklumat, mereka perlu mendedahkan hasil perbincangan tersebut supaya rakyat tahu perancangan kerajaan negeri," tegasnya.

KOMEN : SELEPAS SAMPAH, BANJIR... LEPAS NI APA PULA???

No comments: