Di dalamnya, sebuah model kereta yang diperbuat daripada tanah liat tetapi ‘lengkap’ sifat luarannya, dipertontonkan. Kumpulan wartawan tersebut diberi masa membelek dan meneliti reka bentuk kereta. Kemudian, seorang demi seorang bangun memberi pendapat, yang butirannya dicatat oleh jurutera-jurutera Proton.
Berdasarkan pendapat yang dikeluarkan oleh rakan-rakan wartawan yang juga terdiri daripada beberapa penganalisis industri automotif veteran, reka bentuk model Proton baru ini menerima ulasan positif.
Model tanah liat tersebut menggambarkan ciri-ciri yang ke hadapan dan paling penting, memiliki semua aksesori badan seperti lampu isyarat pada cermin sisi, ruang but yang besar dan lampu LED siang hari. Ketika itu, kereta jenama Korea belum memasuki pasaran atau dilahirkan pun di kilangnya. Reka bentuk Preve lahir daripada kreativiti tulen jurutera Proton yang merupakan anak Malaysia.
Ketika itu, Proton sedang sibuk memperkenalkan model yang ditukar jenama iaitu Proton Inspira dari Mitsubishi Lancer dan masih hangat dengan pengenalan model kenderaan pelbagai guna Proton Exora.
‘‘Pembangunan model diberi nama kod P3-21A memerlukan masa. Kita memutuskan untuk melancarkan Proton Inspira bagi mengisi jurang yang ada dan bila P3-21A ini dilancarkan kelak, kita akan susun semula model-model Proton supaya tidak bertindih,” jelas Pengarah Urusan Proton Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir kepada Utusan Malaysia ketika itu.
Pada 4 April lalu, Syed Zainal Abidin mengumumkan secara rasmi nama model P3-21A ini iaitu Proton Preve (disebut prey-vey) dan kemudian, satu sesi pandu-uji dilakukan dari Putrajaya menuju ke Mantin menggunakan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas). Ia juga menandakan bermulanya penyiaran gambar Preve di dalam internet, hasil rakaman gambar orang ramai di sepanjang jalan tersebut.
Dengan enjin berkapasiti 1.6 liter, Preve bersaing secara langsung dalam Segmen C dengan model-model Toyota Vios, Ford Focus, Honda City dan Kia Forte. Perbandingan tidak akan dapat dielakkan antara Preve dengan jenama-jenama kereta ini.
Bagi penyusunan semula model-model Proton, kehadiran Preve menyaksikan Proton Gen.2 dikhususkan untuk pasaran eksport manakala Proton Persona hanya ditawarkan B- Line (transmisi manual) RM46,713 dan (automatik) RM49,713 seunit. Dua lagi varian Persona iaitu M-Line dan H-Line ditamatkan. Ini bermakna Persona B-Line akan diletakkan di bawah Preve, sementara Proton Inspira (enjin 1.8 liter dan 2.0 liter) berharga antara RM78,565 dan RM91,565 seunit sebagai model teratas.
Preve didatangkan dalam tiga varian iaitu model Executive mengguna transmisi manual lima kelajuan berharga RM59,990 seunit, model Executive CVT atau Continuous Variable Transmission dengan enam kelajuan (RM62,990 seunit). Kedua-duanya menggunakan enjin Campro IAFM+ manakala model tertingginya iaitu Premium CVT menggunakan enjin Campro CFE dengan transmisi tujuh kelajuan ProTronic ialah RM72,990 seunit.
Bagi enjin Campro IAFM+, ia memiliki kuasa maksimum 80 kW pada 5750 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 150 Newton meter (Nm) pada 4000 rpm. Kelajuan maksimumnya ialah antara 170-180 km sejam (km/j).
Model Premium CVT pula menawarkan kuasa enjin maksimum 103 kW pada 5000 rpm dan kuasa kilas 205 pada 2000-4000 rpm. Ia boleh dipacu sehingga 190 kmj walaupun semasa sesi pandu uji tempoh hari, kami mencatat kelajuan 210 kmj.
Daripada segi keselamatan, varian Premium CVT adalah lengkap. Beg udara bagi pemandu dan penumpang beserta beg udara sisi, selain dengan ABS dan EBD, BA dan Traction Control adalah dipasang standard.
Satu ciri keselamatan penting pada Preve ialah ESP (Kawalan Kestabilan Elektronik). Difahamkan, ia adalah sebagai persediaan Proton untuk memperkenalkan Preve ke pasaran Australia, yang mewajibkan setiap kenderaan dipasang ESP. Teknologi ini tidak dipasang pada banyak kereta Jepun atau Korea pada harga bawah RM100,000.
Ciri mewah pada Premium CVT ialah butang menghidupkan enjin, sistem pengesan hujan dan cuaca iaitu dengan menyalakan lampu apabila gelap; pengelap cermin automatik, auto cruise, lampu LED dan bagi yang mahu ‘bermain’ dengan kereta, ia memiliki penukar gear pada kemudi stering (paddle shifters).
Mengekalkan ciri-ciri mesra-keluarga, ruang kabinnya memiliki banyak tempat meletak barang termasuk empat cangkuk untuk menggantung plastik makanan iaitu dua cangkuk hanger baju, satu cangkuk di tepi kotak glove dan satu pada tengkuk kerusi penumpang depan.
Preve tidak menggunakan sistem gantungan (suspension) torsion beam seperti Exora sebaliknya sistem gantungan multilink ciptaan Proton sendiri yang lengkap dengan trailing arm dan coilovers. Pemanduan di lebuh raya berombak tidak menjadi gangguan kepada keselesaan dan fokus pemandu.
Menggunakan mod S pada transmisi CVT ProTonic dan beralih pada paddle shifters, tidak mengurangkan kejituan pengendalian dan dibantu oleh kemudi stereng yang lebih bertindak balas, kita jadi terlupa sebentar bahawa Preve hanyalah berkapasiti 1.6 liter kerana ia berfungsi seperti model 2.0 liter.
Rumusannya? Tanpa rasa berat sebelah atau patriotik melulu, Proton Preve adalah hasil teknologi terbaik pernah dikeluarkan oleh Proton sehingga kini. Bermula dari reka bentuknya yang kontemporari, ciri-ciri aksesori dan keselamatan pada badan sehinggalah kepada keupayaan enjin dan prestasi pemanduan, Proton Preve pasti jadi pilihan ramai dan boleh dieksport ke luar negara dalam erti kata sebenar. Pakej pada Preve adalah lengkap dan memenuhi cita rasa serta kehendak pembeli hari ini.
KOMEN : BILA DAH MEMILIKI DAN MEMANDU PROTON PERSONA H-LINE... RASANYA PEMANDUAN PROTON PREVEE ADALAH LEBIH BAIK... SYABAS PROTON...
No comments:
Post a Comment