Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 9 April 2012

Wajah-wajah ganda politikus kita

warungpolitikmm@gmail.com
DARI UTUSAN MALAYSIA
8/4/2012




SETELAH sekian lama, pentas politik kita tidak banyak berubah. Penuh kepura-puraan dan suka bermain dengan dua wajah. Kepada mereka yang berharap, cukup jangan lagi menaruh banyak harapan. Terimalah, mungkin ini memang wajah politik kita.

Sehingga hari ini itulah yang tercermin. Jika menjadi pembangkang, mereka akan menentang apa sahaja walaupun kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan. Sedangkan di negeri mereka menjadi kerajaan, dasar yang sama digunakan.

Alasan, hujah mahupun fatwa dimanipulasi dan disebar hanya sekadar sebagai akal-akalan untuk menjaga kepentingan politik kepartian dan individu, Jika diselidik telatah mereka ini, jelas bukan rakyat yang diutamakan, jauh sekali untuk negara dan agama.

Wajah ganda 1 - pilihan raya:

Setelah banyak masa dan tenaga tercurah, 22 syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya serta diluluskan oleh Dewan Rakyat tidak juga memuaskan hati pakatan pembangkang.

Mereka tetap mahu turun ke jalanan untuk kononnya terus menuntut pilihan raya bersih dan adil. Di mata mereka, segala kesungguhan jawatankuasa ini yang turut dianggotai tiga Ahli Parlimen pembangkang termasuk melakukan lawatan perbandingan di luar negara tiada maknanya.

Di fikiran mereka, kesungguhan kerajaan untuk terus memperbaiki sistem pilihan raya sebaliknya bakal mendatangkan bahaya . Jadi, mereka sengaja bangkitkan isu laporan minoriti pada saat-saat akhir yang pembangkang desak supaya dimasukkan dalam laporan jawatankuasa.

Mereka tahu hal ini tidak pernah berlaku dan tiada dalam peraturan Dewan Rakyat. Laporan minoriti hanya alasan pembangkang untuk menolak pilihan raya bersih dan adil. Sebenarnya yang pakatan pembangkang mahukan ialah menang pilihan raya, bukan untuk bersama-sama memperbaiki sistem pilihan raya.

Selagi ia tidak menjadi kenyataan dan tiada peluang untuk menawan Putrajaya, selagi itu sistem pilihan raya akan dianggap mereka tidak adil dan tidak bersih. Mereka tidak pedulikan soal sistem sedia ada telah memberi kemenangan di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang serta mengekalkan kuasa pakatan pembangkang di Kelantan. Begitu juga, mereka lanyak SPR dan mereka henyak polis bila agensi itu tidak memihak kepada mereka.

Di hati mereka tiada keikhlasan. Mereka tahu hanya dengan memberikan tekanan demi tekanan dengan meniupkan emosi rakyat melalui demonstrasi jalanan dapat menciptakan ruang untuk menawan Putrajaya. Cara bersih dan adil tiada dalam kamus politik mereka. Siapakah yang lebih gencar memanipulasikan sistem, jika tidak mereka?

Wajah ganda 2 - PTPTN:

Sejak `gelembong' keuntungan Petronas untuk membiaya kos mansuhkan tol dan menurunkan harga minyak gagal meyakinkan rakyat, pakatan pembangkang kini mahu pula gunakan wang syarikat nasional itu untuk memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Isu ini dijaja di serata tempat ceramah pakatan pembangkang. Mereka juga menjanjikan pendidikan tinggi percuma.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang yang licik membakar emosi rakyat kini melipatgandakan gerakannya. Anak muda dan NGO yang entah dari mana, secara terancang dipopularkan sebelum mereka digerakkan untuk memberi tekanan kepada kerajaan.

Kemuncaknya nanti anak muda ini akan digunakan untuk membangkitkan gelombang rakyat - sama seperti di Asia Barat dan Afrika Timur dan sudah tentu isu mudah dan populis untuk menggerakkan anak muda ialah PTPTN.

Ini kerana sebahagian besar pelajar dan lepasan institusi pengajian tinggi sekarang ada kaitan dengan pinjaman PTPTN. Sehingga 29 Februari 2012, terdapat seramai 1.95 juta peminjam/penerima biaya dengan jumlah peruntukan RM43.6 bilion. Pada 2012, PTPTN memperuntukan RM5 bilion.

Bayangkan seramai itu yang terlibat. Sebahagiannya pula enggan membayar semula pinjaman atas pelbagai alasan. Bayangkan pula apa implikasinya jika bayaran balik pinjaman PTPTN ini dilupuskan?

Ada banyak antaranya, penaja lain seperti JPA, Mara dan yayasan negeri perlu mengikut langkah sama. Ia juga akan membentuk sikap negatif bahawa hutang tidak perlu dibayar dan tidak sayangkan ilmu kerana ia mudah diperoleh. Apakah nilai nilai songsang sebegini yang mahu disebarkan termasuk oleh penceramah Pas?

Malaysia juga belum mampu menyediakan pendidikan tinggi percuma kerana melibatkan dana yang besar sedangkan banyak sudsidi perlu ditanggung. Dan, jika bising mampu memberikan pendidikan tinggi secara percuma, buatlah dulu di negeri-negeri yang mereka kuasai.

Wajah ganda 3: projek bijih besi Vale:

Dulu semasa menjadi kerajaan, mereka menyokong pembinaan hab pengagihan projek bijih besi Vale International (Vale) di Teluk Rubiah, Lumut ini tetapi kini setelah menjadi pembangkang, nadanya lain pula.

Kali ini memang terkedu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan rakan-rakannya. Surat sokongan atas projek di Teluk Rubiah itu yang terpaksa didedahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir membuatkan pakatan pembangkang menelan ludah.

Nyata, begitu sekali aroma kepentingan kelompok dalam kerajaan campuran Perak yang lalu. Jelas, begitu sekali wajah berganda politikus pakatan pembangkang ini. Dulu semasa mereka memerintah boleh tetapi kini projek yang sama dibantah. Dulu mereka kata untuk kepentingan pembangunan tetapi kini kelompok yang sama menuduh kerajaan negeri menjual tanah orang Melayu keoada asing.

Mujurlah kerajaan yang mereka bentuk dulu tidak lama. Ada hikmah besar rupanya. Cukuplah, untuk kesekian kalinya Mohammad Nizar dan rakan-rakannya yang ada `kerajaan di bawah pokok itu' telah memalukan diri sendiri.

Wajah ganda 4 - projek nadir bumi Lynas

Projek ini antara yang sungguh-sungguh dibantah oleh pakatan pembangkang. Isu ini mudah menarik simpati ramai kerana dekat dengan rakyat iaitu keselamatan dan alam sekitar.

Tidak kelihatan pakatan pembangkang akan berubah nada walaupun kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Partlimen (PSC) bagi menyiasat projek itu.

Kedegilan mereka tetap sama. Berbakul bukti kajian daripada agensi keselamatan antarabangsa dan tempatan tidak diendahkan. Malah ketegasan pakar nuklear yang kebetulan Ahli Parlimen daripada Pas mengesahkan ia tidak membahayakan manusia dan alam sekitar, berlalu begitu sahaja.

Tetapi lagi-lagi wajah ganda yang mereka tonjolkan. Loji pengeluaran panel solar di Batu Kawan, Pulau Pinang yang menghasilkan sisa toksik yang dibantah penduduk setempat, boleh pula mereka diamkan. Alasan mereka, ia mendapat kelulusan daripada agensi penilaian Pusat.

Ironinya ia agensi sama yang meluluskan kilang kimia Lynas. Bezanya kilang Lynas terletak di negeri ditadbir BN manakala loji pengeluaran panel solar di negeri DAP, iaitu pihak yang selalu menang dan untung dalam apa jua situasi.

Sebenarnya banyak lagi wajah ganda yang boleh kita lihat. Inilah wajah sebenar pakatan pembangkang. Mereka pandai berlakon supaya tampak segala tindakan memihak kepada rakyat.

Begitulah, banyak pelajaran berharga yang kita boleh ambil daripada politikus berwajah ganda yang penuh kepura-puraan ini. Tentu sekali kita tidak mahu terus terlarut dalam permainan mereka . Lagipun sudah terlalu banyak tenaga dibazir begitu sahaja, sedangkan ia sepatutnya digunakan untuk melayani kepentingan rakyat terbanyak.

No comments: