Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 25 April 2012

Jangan lupakan segala jasa, pengorbanan Tun Ghafar Baba



TUN Abdul Ghafar Baba yang meninggal dunia pada 23 April 2006 adalah pemimpin negara yang perlu dikenang. Sudah enam tahun beliau meninggalkan kita bersama jasa-jasanya. Ghafar meninggal dunia pada usia 81 tahun. Allahyarham menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri selama tujuh tahun, lebih lama daripada yang disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Musa Hitam.

Peranan dan kepimpinan Ghafar dalam politik perlu dikenang secara serius, terutama perjuangan beliau yang besar membangunkan UMNO yang menjadi benteng umat Melayu dan Islam. Ghafar merupakan pemimpin politik dan negarawan yang luar biasa malah berbeza berbanding dengan pemimpin yang lain sehingga mencapai status sebagai Timbalan Perdana Menteri.  Ghafar, bekas pemimpin pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim kini Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) menjadi idola para pelajar kerana kepimpinan, idea dan tindakan beliau.
Beliau terlibat dalam pelbagai pertubuhan sukarela antaranya Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan semasa berusia 20 tahun dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Siapa sangka seorang lelaki biasa bernama Abdul Rafar bin Baba yang lahir di Tebat Kering, sebuah kampung terpencil di Kuala Pilah, Negeri Sembilan menjadi pemimpin tersohor. Sungguhpun lahir di Kuala Pilah, beliau amat sinonim dengan negeri Melaka dan menghabiskan 60 tahun hayatnya berhempas pulas berjuang dalam politik Melaka yang merupakan negeri asal ibu bapanya. Di Melaka beliau membina tapak yang bertunjang kukuh sehingga beliau berjaya menyandang jawatan Ketua Menteri Melaka yang pertama selepas merdeka. Di Melakalah bermula bibit-bibit kepimpinan politik yang seterusnya dilantik menjadi menteri Persekutuan dan berakhir sebagai orang nombor dua negara pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau menjadi ahli UMNO pada tahun 1951 selepas Datuk Onn Jaafar meletak jawatan sebagai Presiden UMNO. Seterusnya pada 1952, beliau menjadi Setiausaha UMNO Melaka dan tiga tahun kemudian Tunku Abdul Rahman melantik beliau sebagai Pengerusi UMNO Melaka. 

Di sekitar kelahirannya pada 18 Februari 1925 di Kuala Pilah, masyarakat Melayu pada umumnya berada dalam keadaan daif dan tidak menentu, selain daripada tidak berpelajaran. Malah dua perkara inilah, kemiskinan dan pendidikan, yang diperjuangkan oleh Tun Ghafar sehingga beliau dilihat sebagai pemimpin pembangunan yang bercita-cita besar untuk membangun sosioekonomi rakyat di luar bandar khususnya dan masyarakat di negara ini pada keseluruhannya.

Bekas Setiausaha Akhbar Tun Ghafar, Dr. Alias Mohamed pernah menyatakan bahawa sikap dan tindakan Ghafar yang low profile menyebabkan segala sumbangan beliau kepada negara dan orang Melayu kurang terserlah. Banyak sumbangan Ghafar dilupa dan dikesampingkan dalam lipatan sejarah. Menurutnya, Ghafar juga berperanan dalam membangun akhbar Utusan Melayu yang menjadi penyambung lidah umat Melayu.

Ghafar yang menduduki orang nombor dua dalam Kabinet Dr. Mahathir dilihat sebagai pemimpin Melayu yang banyak menabur jasa kepada bangsa dan tanah air yang dapat dilihat sepanjang penglibatannya dalam politik dari tahun 1939 hingga ke penghujung usianya pada 2006.
Allahyarham berkecimpung selama 67 tahun dalam politik dengan meninggalkan jejak-jejak yang amat berharga kepada orang Melayu dan negara. 

Akhirnya pada 23 April 2006, pada pukul 7.34 pagi pergilah seorang pejuang bangsa yang semasa hayatnya tidak mengenal penat dan lelah menjelajah kampung dan desa untuk melihat sendiri susah senang dan sakit pening rakyat. Akhirnya hasil daripada perjuangan beliau, rakyat dan negara dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju lain.

No comments: