Oleh Zaini Hassan
Budak berasal dari Klang ini cukup menyanjung tinggi S. Ambiga.
Ambiga baginya ialah idolanya. Ambiga ialah penyelamat kumpulan
mahasiswa.
Jika mendengar ucapannya dalam YouTube, UMNO dan Barisan Nasional
ialah parti yang terlalu zalim dan maha zalim buatnya. Kerajaan sekarang
terlalu buruk bagi pandangannya. Dia yang masih belajar ialah pelajar
di sebuah universiti yang menerimanya masuk atas dasar dia seorang
Bumiputera. Universiti itu hanya menerima yuran RM500 semester, satu-satunya
universiti yang mengambil yuran pengajian yang terendah di negara ini.
Yang lain semuanya percuma. PTPTN hanyalah wang kocek sara hidup untuk
lain-lain hal sepanjang semester pengajian. Jika di zaman saya dulu makan pun percuma, tiga kali sehari. Jika duit tiada, para pelajarnya masih boleh hidup, tidak kebulur.
Dalam YouTube juga, Khalid menggambarkan dia adalah hero kepada kaum
mahasiswa. Semua yang berlaku dalam kampus dan negara ini salah belaka.
Hanya dia sahaja yang betul. Hanya Ambiga sahaja yang betul. Hanya Anwar
Ibrahim sahaja yang menjadi pujaan hatinya. UiTM yang mengasuhnya cukup tidak adil, haknya kononnya dicabul.
Itulah kata-katanya yang dipetik dalam laman sesawang itu ketika menjadi
wakil solidariti mahasiswa Malaysia semasa berucap di majlis pelancaran
ABU (Asal Bukan UMNO) di Markas Tarbiyah Pas di Taman Melewar, Kuala
Lumpur, tidak lama dulu.
Khalid kononnya mendakwa bergerak secara bebas atas nama Kumpulan
Aktivis Mahasiswa Independen (Kami). Namun dia tidaklah independen, dia
sebenarnya ialah kader yang dilahirkan oleh parti pembangkang.
Sejak beberapa hari lalu, kelibat Khalid kelihatan berada
bersama-sama aktivis fahamannya di Dataran Merdeka. Dia berada di situ
untuk menuntut kerajaan menghapuskan PTPTN, yang juga didakwanya sebagai
satu skim pinjaman pelajar yang terlalu zalim. Jika mahu ditakrifkan apa itu anti-establishment, maka Khalid inilah
anti-establishment. Semua baginya tidak betul, kecuali dia sahaja yang
betul.
Sudah tentu Lim Guan Eng terlalu teruja dengan Khalid. Guan Eng
dikatakan turun padang pada jam 2.30 pagi baru-baru ini bagi memberi
sokongan moral kepada Khalid dan rakan-rakannya, yang rata-rata Melayu,
berkhemah di Dataran Merdeka itu. Guan Eng bukan sahaja bangga kerana
Khalid anak Melayu, tetapi juga pelajar UiTM, sebuah institusi yang cuba
dirobek-robek oleh mereka. Terus terang saya katakan, saya amat bersimpati dengan Khalid. Dia
mewakili mahasiswa yang sudah terjebak terlalu jauh dalam perjuangan
peribadi Anwar Ibrahim dan DAP. Pas pula hanyalah Pak Turut yang tiada
tujuan.
Guan Eng, Anwar dan Ambiga telah menggunakan mereka ini demi
kepentingan peribadi masing-masing. Khalid nampaknya sudah terjebak
jauh. Untuk berpatah balik, nampaknya terlalu sukar baginya. Maka
alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.
UiTM yang sepanjang tempoh lebih 40 tahun melahirkan anak-anak Melayu
yang berjaya - hasil perjuangan UMNO yang dianggap zalim oleh Khalid -
kini sudah mula melahirkan seorang insan yang sungguh tidak bersyukur
seperti Khalid.
Namun, Khalid sebenarnya hanyalah segelintir. Terlalu ramai lagi
bekas-bekas pelajar UiTM, yang diterapkan dengan lagu keramat Anak Kecil
Main Api di zaman rebungnya, tidak akan melupakan pengorbanan yang
dicurahkan kepada mereka semua oleh institusi itu. Mereka semua bersyukur dengan apa yang mereka kecapi hari ini. Khalid
hanya baru belajar bertatih dalam dunia sebenar, tetapi telah memilih
satu persimpangan yang dianggapnya betul, tapi melencong.
Wahai, Khalid Mohd. Ismath. Cara perjuangan kamu sebenarnya terlalu
angkuh. Suara kamu berbunyi bongkak dan takabur. Butir-butir kata yang
diberikan kamu dalam YouTube itu terlalu dangkal. Kamu menganggap
kamulah pelajar yang paling hebat di negara ini.
Bukan tujuan tulisan ini untuk mengangkat kamu. Tapi untuk dijadikan
pengajaran kepada yang lain supaya kita harus bersyukur dengan nikmat
yang telah dicurahkan kepada kita semua di bumi bertuah ini. Selagi
hayat ini dikandung badan, selagi itulah, insya-Allah, orang seperti
Khalid akan terus mendapat pembelaan. Selagi itulah tempatnya untuk
menuntut ilmu di UiTM, institusi pengajian tinggi keramat orang Melayu
ini akan terjamin. Sehubungan itu, marilah kita semua membalas semula budi baik yang
dicurahkan kerajaan kepada kita. Sekurang-kurangnya kepada Mara (Majlis
Amanah Rakyat) yang pernah mengasaskan Institut Teknologi Mara (ITM)
yang kemudiannya menjadi sebuah universiti, setelah diangkat naik oleh
mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Saya difahamkan sebagai menghargai jasa Mara dan sebagai membalas
balik budi baiknya semua pihak yang terbabit dengan agensi itu, sama ada
bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), guru-gurunya, pesara
agensi itu, Institut Kemahiran Mara (IKM), bekas penerima biasiswa dan
pinjaman pelajaran, usahawan, termasuk bekas pelajar ITM/UiTM, akan
mewujudkan sebuah dana khas bagi menyumbangkan semula kepada masyarakat
atas nama kesyukuran. Dana yang akan dikutip itu akan dipulangkan semua
kepada anak-anak dan generasi kita.
Diharapkan ia akan menjadi satu kitaran mengenang budi dan kesyukuran
yang patut mulai sekarang diterapkan di sanubari kita semua. Sebenarnya
Khalid juga harus bersyukur di atas dasar yang telah dibentuk oleh para
pejuang negara selama ini. Ingatlah Khalid, negara kita kini terlalu aman damai hasil perjuangan
para pemimpin terdahulu dan semasa. Sejak negara di ambang kemerdekaan
dan selepas mencapai kemerdekaan corak negara ini banyak dimainkan oleh
para pejuang itu sehinggalah kestabilan dibentuk selepas peristiwa 13
Mei 1969. Kini rakyat seperti saudara boleh bergerak bebas mencari rezeki atau ilmu. Boleh ke masjid atau surau atau ke mana-mana sahaja berbanding dengan sesetengah negara lain di muka bumi ini.
Nikmat keselesaan hidup yang kita kecapi selama ini hendaklah kita
gandakan dengan ibadat kepada Allah SWT sebagai tanda syukur kepada-Nya,
kerana dibimbangi nikmat yang kita kecapi selama ini berkemungkinan
akan ditarik balik oleh-Nya. Manusia yang disayangi Allah ialah manusia beriman yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.
Negara sudah aman dan maju, sebab itulah DAP, Pas, dan PKR sentiasa
meracuni pemikiran saudara Khalid supaya membenci apa yang ada ini untuk
kepentingan politik peribadi mereka.
Tapi sayang seribu kali sayang, Khalid sudah tersasar jauh. Pelajaran
saudara pun tidak cemerlang. Hanya mampu memperoleh mata purata 2.3
dalam CGPA semester 2. Amat sukar untuk saudara berpatah balik.
1 comment:
Huh..... bukti mahasewel nih xnak belajar utk jadi cemerlang..... bongkarkan semua keputusan mahasewel yg dok demo tu...
Post a Comment