Suara sumbang itu kian kuat, semakin hiruk pikuknya pula kelmarin. Kata mereka, siapa yang menjadi kerajaan, sudah tentu bisa (pasti) menjamin soal keselamatan.
Tetapi kalau direnungkan balik, betulkah rumusannya begitu?
Tidak payah kita pergi jauh. Mengapakah di selatan Thailand, Indonesia dan selatan Filipina masih bergelut dengan keganasan. Dilaporkan dalam media tempatan dan antarabangsa angka korban akibat keganasan setiap hari. Berpuluh ribu orang mati sejak bertahun-tahun. Mereka pun ada kerajaan demokrasi juga. Tetapi kenapa masih menyaksikan pembunuhan di Yala, Narathiwat, Sokhla dan Patani, Mindanao dan sesekali Aceh.
Wilayah di selatan Thailand hanya 100 kilometer dari sempadan Malaysia - Arau, Rantau Panjang, Padang Terap, Sik, Kuala Ketil namun terdapat banyak tragedi berdarah di wilayah-wilayah bergolak Siam itu.
Tetapi apabila turun masuk sempadan Malaysia, tidak ada pula sebarang kegiatan keganasan. Tidak ada langsung. Cuma sesekali kita dikejutkan dengan kes rompakan. Nak jumpa sebutir peluru di tempat awam pun susah, inikan pula sepucuk pistol. Jika ini terjadi, alamat riuhlah semua orang. Dan puluhan anggota polis akan dikejarkan ke tempat kejadian. Kemudian mendapat laporan meluas akhbar-akhbar tempatan walaupun ditemui cuma sebutir peluru.
Hakikatnya, keamanan dan kestabilan negara ini bukanlah diperoleh dari teori berdasarkan bacaan buku-buku yang berkaitan kebebasan individu. Kebebasan individu hakikatnya tidak wujud tanpa keamanan.
Kerana itu, isu keselamatan bukanlah tanggungjawab pembangkang tetapi dipikul oleh kerajaan yang memerintah. Tidak pernah pun kalau pembangkang DAP, Pas dan PKR ini fikirkan keamanan, mereka akan puji Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. Kerajaan Barisan Nasional tentulah jauh 'panggang dari api' mereka.
Atas sebab inilah ramai yang hadir untuk mengikut perjalanan sidang Dewan Rakyat Isnin lalu tidak ambil peduli sangat gelagat yang dipertontonkan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang. Hadirin yang memenuhi galeri awam dewan lebih senang mendengar dan memahami isi pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. Sesekali audien senyum 'mencuka' mendengar rumusan dangkal Ahli Parlimen PKR Balik Pulau, Yusmadi Mohd. Yusoff . Kata wakil rakyat muda ini: "Isu keganasan itu milik Amerika Syarikat, di sini (Malaysia) tidak wujud".
Sedangkan kalau dilihat dalam skop pemikiran yang rasional, tidak ternampakkah kita anggota polis yang bertugas siang malam. Berapa banyakkah kes-kes rompakan diselesaikan dalam tempoh singkat. Ada ketikanya tidak sampai sejam pun kumpulan penjenayah terbabit ditumpaskan - ditembak mati. Demikian juga dengan Malaysia turut memiliki unit perisikan terbaik di dunia yang diiktiraf sendiri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Cubalah kita fikir-fikirkan kenapa dalam 100 kilometer melepasi sempadan utara tanah air, keganasan memuncak tetapi jarak yang sama memasuki sempadan negara, aman damailah pula.
Atas faktor-faktor inilah maka sudah tiba masanya pembangkang mengiktiraf apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan ketika ini - menggubal dan memperkenalkan akta baru berikutan pemansuhan ISA. Meskipun Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kelmarin membantah keras penggubalan Akta Kesalahan Keselamatan, yang didakwa telah 'melacurkan' demokrasi serta kononnya berbentuk salah guna kuasa, namun kalau diteliti secara ikhlas tanpa 'sentimen' politik, pembangkang sebenarnya 'sengaja buat-buat gusar.' Ini kerana meskipun selepas 28 hari seseorang itu ditahan, peguam seseorang itu masih boleh akses keadaan yang ditahan. Dan kalaupun bimbangkan 'anak buah' dipukul, pembangkang kan ada peguam yang cerdik pandai untuk 'aksesnya'. Malahan, keluarga pun masih boleh tahu kedudukan anggota mereka yang ditahan tersebut.
Cuma, yang tidak sedapnya dalam keinginan membuak-buak pembangkang untuk menghapuskan ISA dan 'mengimbangi keamanan dan keganasan', rakyat tidak terdengar pula mereka atau setidak-tidaknya 'buku jingga' mengutarakan satu undang-undang keselamatan.
Itu yang peliknya. Takkan dalam dunia yang sibuk mengekang keganasan global, kita di Malaysia duduk diam sahaja. Takkanlah ketika banyak negara tetangga rantau ini dihambat pengeboman militan, pemberontak dan gerila, Kuala Lumpur boleh duduk 'tercanguk' sebagai pemerhati sahaja. Sudah tentulah Malaysia memerlukan undang-undang anti keganasan yang boleh mengekang mana-mana individu, kumpulan atau parti politik pun yang cuba menghancur atau menggulingkan pemerintahan demokrasi.
Akta Kesalahan Keselamatan adalah bukti keberanian kerajaan sedia ada untuk menghadapi cabaran dengan memberi banyak udara kebebasan kepada rakyat dalam era digital.
Apabila ISA dimansuhkan, kerajaan sebenarnya tidak ada senjata yang ampuh untuk menangani keganasan. Kerana itu, akta baru ini diperkenalkan.
Cuma apabila pembangkang terus 'main wayang' menolak terus akta keganasan terbaharu di Dewan Rakyat kelmarin, kita mula rasa curiga.
Sebenarnya - kita sudah semakin muak dengan kerenah sebegini.
KOMEN : BILA KITA MEMILIH WAKIL RAKYAT YANG PENTINGKAN DIRI... TIMBULLAH PERBUATAN BODOH ORANG TAK BERSEKOLAH SEPERTI KELAKUAN KELUAR DARI DEWAN PARLIMEN KERANA MEMBOIKOT SESUATU PERBENTANGAN AKTA DEMI KEPENTINGAN RAKYAT DAN NEGARA... TERUTAMA AKTA KESELAMATAN... JADI APAKAH SUMBANGAN WAKIL RAKYAT PUAK PEMBANGKANG INI PADA NEGARA??????
No comments:
Post a Comment