DARI BERITA HARIAN
2012/04/16
DR MAHATHIR diiringi Dr Mohamed Mustafa (kiri), disambut mesra di pekarangan Dewan Mu’adzam Shah sempena sambutan Hari Pengasasan Ke-28 UUM di Sintok, semalam.
SINTOK: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keadaan politik semasa menunjukkan sokongan rakyat terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semakin baik sekali gus mewajarkan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinan Najib sudah tidak punya banyak masa berikutan mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April tahun depan. Katanya, situasi semasa menunjukkan Perdana Menteri ketika ini mempunyai kelebihan kerana kepimpinannya melalui program transformasi kerajaan yang giat dijalankan diterima baik keseluruhan rakyat.
Bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinan Najib sudah tidak punya banyak masa berikutan mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April tahun depan. Katanya, situasi semasa menunjukkan Perdana Menteri ketika ini mempunyai kelebihan kerana kepimpinannya melalui program transformasi kerajaan yang giat dijalankan diterima baik keseluruhan rakyat.
“Saya fikir takkan lama lagi dah, sebab dah tak ada masa, cuma setakat pertengahan tahun depan saja. Kalau rakyat beri sokongan yang baik, masa itu adalah pilihan raya.
“Bila kita nampak boleh menang, bolehlah diadakan pilihan raya. Kita ikut sistem British, dalam sistem British bila parlimen tamat, pilihan raya diadakan,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Pengasasan Ke-28 Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, semalam.
Hadir sama, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.
Beliau berkata, melalui sistem itu ia memberi peluang kepada kerajaan yang memerintah untuk menilai tahap populariti dan sekiranya berasakan diri mereka boleh menang, maka pilihan raya akan diadakan. “Sekarang pun nampak bagus juga (untuk diadakan pilihan raya),” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata, dalam pentadbiran sesebuah negara, pemimpin bukan saja perlu mahir dalam ilmu pengurusan pentadbiran tapi perlu ada kecekapan dalam bidang pengurusan kewangan, ekonomi dan kajian saintifik.
Katanya, kecekapan dalam bidang berkenaan diperlukan bagi melengkapkan keupayaan pengurusan dalam negara selain mengelakkan negara daripada menjadi muflis.
“Sebab itulah di Malaysia sejak awal lagi peruntukan sebanyak 25 peratus daripada belanjawan setiap tahun diberi untuk pelajaran bagi tingkatkan ilmu pengetahuan.
“Ini adalah satu pelaburan untuk masa depan kerana kita yakin kalau rakyat mempunyai pelajaran yang cukup, maka dapat bangunkan negara dengan lebih pesat dan baik,” katanya.
Dr Mahathir berkata, tiada sesiapa yang dapat menafikan kemajuan yang ada di negara ini kerana rakyat sedar akan tanggungjawab masing-masing dan mereka sentiasa mengejar ilmu ke peringkat tertinggi.
No comments:
Post a Comment