DARI UTUSAN MALAYSIA
5/4/2012
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, program-program yang disusun sempena majlis pertabalan pada 11 hingga 21 April, itu bukan sahaja bagi menambah keceriaan majlis, tetapi juga memberi peluang kepada rakyat untuk turut serta selain meningkatkan kefahaman mereka mengenai Institusi Diraja.
Rais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 berkata, selain Istiadat Pertabalan dan Majlis Santapan Diraja yang akan diadakan mengikut tradisi dan nilai-nilai Diraja Melayu, program lain yang akan berlangsung adalah Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat (12 April), serta Khutbah Khas Sembahyang Jumaat (13 April) di Masjid Negara.
Acara Golf Diraja di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam (14 April), Pameran Raja Kita di Istana Negara lama (15 April), Majlis Jamuan Mesra Kanak-Kanak Bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Istana Negara, Jalan Duta (21 April) dan Persembahan Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada di Dataran Merdeka pada 21 April depan.
"Apa yang penting, masyarakat biasa akan turut bersama mengisi keceriaan sempena majlis pertabalan ini, termasuk masyarakat bukan Islam juga berpeluang untuk bersama-sama menjalankan kegiatan kerana ia akan melibatkan semua pihak," katanya.
Rais berkata demikian kepada pemberita selepas menghadap Seri Paduka berdua bagi mempersembahkan pandangan Jawatankuasa Pertabalan berhubung susunan program dan acara-acara penting sempena majlis pertabalan itu.
Selain itu, Rais berkata, lebih 50,000 naskhah buku kecil tentang Yang di-Pertuan Agong akan diedarkan ke seluruh sekolah dan badan-badan bukan kerajaan di negara ini yang menjelaskan kedudukan dan kuasa-kuasa Seri Paduka. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment