Himpunan BN Pilihan Orang Muda itu yang pertama kali diadakan bukan hanya disertai kalangan ahli parti komponen BN, malah golongan mahasiswa dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.
Pada majlis yang dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu, mereka yang memakai kemeja T berwarna biru dan merah jambu memenuhi pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Perak.
Turut serta, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin; Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ketua Pemuda BN negeri, Khairul Azwan Harun dan Ketua Pergerakan Puteri negeri, Salbiah Mohamed.
Hishamuddin dalam ucapan perasmiannya, berkata, kehadiran begitu ramai golongan muda pada majlis itu sekaligus menangkis dakwaan pembangkang kononnya BN tidak mendapat sokongan golongan muda.
Menurut beliau, pelbagai pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan termasuk Program Transformasi Politik (PTP) terbukti berjaya menarik golongan muda untuk bersama berjuang dengan BN.
"Ada pihak kata BN tidak mendapat sokongan orang muda dan masa depan BN tiada bersama dengan golongan muda tetapi kehadiran ramai golongan muda hari ini membuktikan golongan muda akan tetap bersama dengan BN," katanya.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan dalam beberapa pilihan raya kecil bermula dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang menunjukkan generasi muda telah kembali menyokong BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.
Katanya, disebabkan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini terdesak untuk mendapat sokongan orang muda sehingga sanggup berjanji menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta tol, menurunkan harga minyak dan memberikan air percuma kepada rakyat.
"PRU-13 merupakan taruhan masa depan negara kita. Kalau kita hendak selamatkan negara kita daripada pemimpin seperti Anwar, Lim Kit Siang dan Karpal Singh, anak-anak muda perlu bangkit menyatakan sokongan dan iltizam untuk menyokong BN," katanya.
Beliau juga memberitahu, program Himpunan BN Pilihan Orang Muda akan dibuat di semua negeri selepas ini dengan sasaran sekurang-kurangnya kehadiran 10,000 bagi setiap negeri dan 100,000 orang pada program kemuncak di Selangor.
"Selepas jelajah satu Malaysia, kita harap tidak kurang 200,000 anak muda akan sokong BN," katanya.
No comments:
Post a Comment