Oleh HUSSAINI AMRAN dan SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 22 April - Gerakan yang
memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta
setiap pengamal seks songsang merupakan pengikut-pengikut jejak syaitan. Justeru itu, kata Pengerusi Pusat Kajian Fiqh Kontemporari,
Nasharudin Mat Isa, telah tiba masanya untuk semua umat Islam di negara
ini bangkit dan menentang secara habis-habisan terhadap pejuang serta
pengamal LGBT kerana sekiranya perbuatan menjijikkan itu jika dibiarkan,
ia boleh mengundang bala daripada Allah SWT.
Beliau berkata, di dalam al-Quran, Allah telah menceritakan bagaimana
umat Nabi Lut a.s ditimpa bala bencana yang amat dahsyat hanya
disebabkan menularnya budaya gay sedangkan apa yang berlaku sekarang
lebih teruk lagi apabila wujudnya tiga lagi jenis seks songsang iaitu
lesbian, biseksual dan transgender.
"Disebabkan gay, bandar Sodom telah dihempaskan ke bumi hingga
mengakibatkan bandar itu hancur dan kesannya boleh dilihat di Laut Mati
di Jordan. Kita juga tahu kisah kaum Nabi Lut ini melalui firman Allah
di dalam ayat ke 80 hingga 84 surah al-A'raf . "Cuba lihat, pada zaman Nabi Lut hanya ada G (gay) sahaja, itu pun
Allah telah menjatuhkan hukum yang begitu berat. Bayangkan sekarang,
ditambahkan dengan perbuatan LBT (lesbian, biseksual dan transgender).
Mahukah kita undang bala Allah dengan hanya kita berdiam diri?"
tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk Seks Songsang: Perspektif Syari'ah pada Wacana Kemungkaran LGBT di Dewan Besar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kampus Antarabangsa di sini, hari ini.
Wacana yang bertemakan LGBT Mengundang Bala Allah telah dianjurkan
oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat). Presiden
Muafakat, Ismail Mina Ahmad telah bertindak sebagai moderator wacana.
Nasharudin berkata, amalan LGBT di negara ini semakin menular dan apa yang lebih malang, ia ditaja dan merebak secara terhormat. "Hasil maklumat kita, pihak yang mencanang dan memperjuangkan LGBT ini adalah dalam kalangan orang ternama dan terhormat. "Saya ingin ingatkan sekali lagi kepada semua pihak terutama mereka
yang menyokong gerakan ini, jangan undang bala daripada Allah SWT,"
katanya lagi.
Nasharudin di dalam kertas kerjanya turut menyentuh mengenai fatwa
ulama tersohor dunia, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi berhubung amalan
LGBT. Beliau berkata, ulama tersebut dengan tegas telah menyatakan amalan
tersebut adalah haram dan wajib ditentang termasuk dengan menggunakan
kekuatan. Malah beliau berkata, Yusuf Al-Qardhawi melarang mana-mana pihak
makan atau minum bersama pejuang serta pengamal LGBT atas dasar pegangan
mereka yang amat bertentangan dengan perintah Allah SWT.
"Yusuf Al-Qardhawi berkata, adakah wajar kita masih mahu berdiam diri apabila kemungkaran itu berlaku hampir dengan kita? "Tambah ulama ini lagi sememangnya tidak boleh sama sekali kita
berdiam diri atas kemungkaran ini. Sekiranya tersebar, wajib hukumnya
untuk kita melakukan perubahan walaupun dengan kekuatan sekalipun," ujar
bekas Timbalan Presiden Pas itu.
KOMEN : KATAKANLAH YANG BENAR WALAUPUN PAHIT UNTUK DI TELAN ....
No comments:
Post a Comment