30 Januari 2015 1:17 AM
Seorang ahli keluarga penumpang warga China pesawat MH370 dihalang oleh anggota polis selepas dia cuba mendekati Kedutaan Malaysia di Beijing dalam satu tunjuk perasaan bagi menuntut kerajaan Malaysia meneruskan usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370, semalam. – RE UTERS
BEIJING 29 Jan. – Ahli keluarga penumpang warga China pesawat Malaysia Airlines MH370 mengadakan bantahan di luar Kedutaan Malaysia, di sini hari ini bagi menuntut supaya operasi mencari dan menyelamat penumpang dan anak kapal MH370 diteruskan.
Satu laporan dijangka dikeluarkan pada 7 Mac ini, sehari menjelang ulang tahun pertama nahas itu, dan sesetengah waris penumpang terbabit bimbang sekiranya operasi mencari dan menyelamat itu akan dihentikan.
Berpuluh-puluh ahli keluarga penumpang terbabit berhimpun dan mengadakan bantahan di luar Kedutaan Malaysia di sini awal hari ini.
Beberapa anggota polis bertindak mengepung kawasan kedutaan itu di daerah Chaoyang dan lebih 50 buah kenderaan polis, bas dan lima jentera bomba turut dikerahkan ke kedutaan berkenaan.
Seramai 15 penunjuk perasaan diusir oleh polis dan dibawa ke sebuah pusat sokongan, kata seorang waris mangsa nahas MH370 kepada dpa.
Katanya, dua warga emas kelihatan menangis dan enggan beredar dari kawasan itu manakala beberapa orang yang lain duduk dan enggan berganjak.
Sebahagian ahli keluarga berkata, mereka bimbang laporan yang bakal dikeluarkan itu akan mengumumkan operasi mencari dihentikan.
“Jangan umumkan MH370 hilang tanpa bukti,” kata satu kenyataan yang diterbitkan ahli keluarga penumpang MH370 yang dimuat naik di laman sosial Weibo.
Kebanyakan mangsa nahas pesawat MH370 itu adalah warga China dan kebanyakan ahli keluarga penumpang terbabit berharap kesemua penumpang masih hidup.
“Operasi mencari masih belum selesai dan mereka masih tidak mempunyai bukti mencukupi untuk merumuskan bahawa pesawat itu telah hilang,” kata, Zhang Yuxi, bapa kepada salah seorang penumpang pesawat MH370.
“Tindakan itu seumpama tidak menghormati kehidupan dan tidak menghormati penduduk China dengan bertindak menghentikan pencarian sebelum rangka pesawat ditemukan.
“Saya rindukan anak saya dan saya tidak dapat tidur sejak nahas itu berlaku,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ahli-keluarga-mh370-anjur-bantahan-1.54126#sthash.JwjnR9F0.dpuf
No comments:
Post a Comment