Jawatankuasa khas analisis jumlah sebenar untuk tentukan bantuan
HAKIMI ISMAIL | 06 Januari 2015 1:54 AM
Muhyiddin Yassin, Jamil Khir Baharom, Ali Hamsa, Mohamad Zabidi Zainal dan Shahlan Ismail (berdiri, tengah) bergambar bersama sebahagian sukarelawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum berlepas ke Kelantan untuk membantu mangsa banjir di negeri tersebut di Dataran Putra, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA 5 Jan. - Nilai kerugian akibat bencana banjir yang melanda negara ini terutamanya di Pantai Timur dianggar mencecah berbilion ringgit ekoran kemusnahan harta benda yang luar biasa.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa untuk menilai kerugian telah ditubuhkan di seluruh negeri yang dilanda banjir dalam usaha mengenal pasti jumlah kerugian sebenar.
Beliau berkata, semua rekod kerugian yang dicatatkan di peringkat negeri akan dianalisis oleh satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan di peringkat Pusat, khusus bagi bantuan pasca banjir.
‘‘Banjir yang melanda negara ini khususnya di Kelantan amat luar biasa, air naik dengan cepat,sekali gus merosakkan harta benda penduduk serta premis kerajaan seperti sekolah dan hospital,’’ katanya.
Beliau berucap dalam majlis pelepasan konvoi bantuan banjir sukarelawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Putra di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri berkata, fasa pasca banjir adalah cabaran utama kepada mangsa yang terlibat ekoran kehilangan harta benda, selain berdepan dengan masalah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kediaman masing-masing.
‘‘Sekarang kita memasuki fasa pasca banjir dan situasi ini lebih rumit serta mencabar. Namun dengan adanya pasukan-pasukan sukarelawan yang turun membantu, sedikit-sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terlibat.
‘‘Saya juga menyeru agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan dan juga badan-badan sukarela bersama-sama membantu mangsa banjir dengan menyumbang peralatan pembersihan dan juga keperluan-keperluan lain,’’ katanya.
Mengulas tentang konvoi bantuan banjir sukarelawan JPM, Muhyiddin berkata, usaha murni itu amat dihargai kerana dapat meringankan beban mangsa yang terlibat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Misi Bantuan Sukarelawan JPM, Datuk Shahlan Ismail berkata, konvoi bantuan banjir sukarelawan JPM ke Kelantan hari ini melibatkan 1,500 peserta.
Menurutnya, kesemua sukarelawan itu terdiri daripada ahli Kelab Pejabat Perdana Menteri, Kelab Bukit Perdana JPM, Persekutuan Pengakap Malaysia dan beberapa NGO terpilih.
‘‘Kita mempunyai lebih 5,000 sukarelawan dan misi ini akan digerakkan secara berperingkat-peringkat mulai hari ini sehingga 11 Januari. Buat masa ini, misi akan tertumpu di Kelantan memandangkan keadaan negeri tersebut yang terjejas teruk akibat banjir.
‘‘Pasukan sukarelawan ini akan memberi bantuan kepada mangsa banjir melibatkan khidmat komuniti pasca banjir di masjid, sekolah, hospital dan premis-premis awam. Kita akui sukar juga untuk melaksanakan misi bantuan ini kerana perlu berdepan pelbagai situasi, misalnya lumpur yang dalam. Jadi untuk menanganinya, kita turut membawa ‘water jet’ berkapasiti tinggi,’’ katanya.
Ujar Shahlan, fasa seterusnya akan membabitkan penghantaran sukarelawan JPM ke negeri-negeri lain yang turut dilanda banjir dan dijangka jumlah kumpulan itu akan terus bertambah kerana pendaftarannya masih lagi dibuka.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kerugian-berbilion-ringgit-8211-tpm-1.45093#sthash.3NzKjeVB.dpuf
No comments:
Post a Comment