MAISARAH SHEIKH RAHIM | 16 Januari 2015 1:35 AM
Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR 15 Jan. - Kebebasan bersuara telah ditakrifkan secara tidak adil terhadap umat Islam apabila pihak bukan Islam boleh menggunakan hak tersebut untuk menghina agama itu, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, menggunakan alasan atas nama kebebasan media, golongan itu boleh menghina Allah dan rasul, sedangkan kerajaan dan ketua mereka tidak boleh dikritik kerana erti kebebasan hanya dibolehkan kepada mereka dari negara Barat.
Kata beliau, bagi pihak mereka, ajaran agama dan khutbah Jumaat wajib dipantau habis-habisan termasuk di masjid di Mekah dan Madinah kerana dianggap melampau, sedangkan ada negara Eropah mengharamkan pemakaian tanda agama di sekolah atau berhijab di tempat awam.
“Pas mengutuk semua bentuk keganasan dan pelampau walaupun dicetuskan oleh orang Islam sendiri terhadap orang bukan Islam, (namun) semua pihak perlu memahami takrif keganasan secara waras dan siapa yang sebenarnya memulakan keganasan.
“Kita bersimpati dengan sesiapa sahaja yang dibunuh tanpa hak dan keadilan tetapi pada masa sama sila bandingkan dengan tujuh belas orang rakyat Perancis yang dibunuh mendapat simpati seluruh dunia kerana laporan medianya menghina Islam dan rasulnya tetapi lebih sejuta rakyat Algeria yang dibunuh tentera Perancis pada zaman penjajahannya dan dilupakan tanpa simpati,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai merujuk kepada isu tindakan akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang diserang dengan senjata api sehingga menyebabkan 12 orang terbunuh selepas akhbar satira berkenaan tidak menghormati agama Islam dan Nabi Muhammad.
Ia juga dipercayai merujuk kepada kontroversi kenyataan Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen yang menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan fahaman ekstremis pada setiap Jumaat kepada umat Islam.
Dalam pada itu, Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, kenyataan Eric itu merupakan satu tuduhan melampau yang sengaja mahu mencetuskan provokasi terhadap umat Islam.
Kata beliau, kenyataan itu sekali gus menafikan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan, selain tidak menjaga sensitiviti umat Islam.
Kata beliau, Jakim tidak pernah menggalakkan fahaman ekstremis melalui khutbah Jumaat, sebaliknya apa yang ditekankan adalah menyeru umat Islam untuk mempertahankan akidah, undang-undang dan akhlak Islam.
“Kenyataan yang dibuat Eric itu tidak berasas sama sekali dan sepatutnya kita tentang habis-habisan kerana tugas Jakim adalah untuk menjaga Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Dia sepatutnya merujuk kepada pihak Jakim atau mana-mana pihak berkuasa agama sekiranya timbul kekeliruan dan bukannya membuat kenyataan sesuka hati kerana ia boleh menimbulkan polemik sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/hadi-hina-islam-kebebasan-bersuara-1.48439#sthash.UOfSAyIl.dpuf
No comments:
Post a Comment