OLEH ZULKIFLI JALIL PENGARANG@UTUSAN.COM.MY | 30 Januari 2015 1:50 AM
Reaksi isteri dan anak kepada Mohd. Hazrin Hasnan, Krew Penerbangan Malaysia MH370, Intan Maizura Othaman dan Muhammad semasa meninggalkan pekarangan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Putrajaya, semalam. – Bernama
ORANG yang bersabar itu apabila ditimpa musibah mereka akan mengucapkan kalimah Istirja’ iaitu “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Inilah yang membezakan antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman.
Apabila petang semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu, secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap terkorban, kita mengharapkan pihak keluarga mangsa menerimanya.
Kepada keluarga mangsa yang beragama Islam, redalah dengan ketentuan-Nya.
Seandainya kita tidak mengimani takdir, mungkin kita akan terus meratapi kepergian anak, isteri, suami serta insan tercinta yang pergi terlebih dulu. Setiap kali mengingatinya akan terasa ‘lemas’ dan tidak terasa air mata mengalir. Sentiasalah mengingati Allah dan berharap rahmat di sebalik takdir-Nya, barulah terasa ringan menjalaninya.
Tragedi MH370 turut dibincangkan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 25 Mac 2014.
Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam yang disabitkan kematiannya dalam tragedi
MH370 ini adalah tergolong sebagai Syahid Akhirat berasaskan kepada hadis Nabi SAW yang menyebutkan bahawa mati kerana tenggelam termasuk dalam salah satu kategori Syahid Akhirat.
Mengenai hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan mangsa, atau hukum-hukum lain yang bersangkutan daripada tragedi ini, Muzakarah menegaskan bahawa ia hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan berasaskan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan setelah pengesahan atau pensabitan kematian diputuskan oleh mahkamah.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pada 8 Mac tahun lalu dalam perjalanannya ke Beijing, China.
Beberapa bulan kemudian, pada 17 Julai, negara dikejutkan lagi dengan berita tragis penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal pula terhempas di timur Ukraine semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, selepas ditembak jatuh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sedekahkan Al-Fatihah buat penumpang MH370 dan MH17 yang beragama Islam. Semoga roh para arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan soleh.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bersabar-reda-dengan-ketentuan-nya-1.54195#sthash.fwfNnGa6.dpuf
Keluarga Muzi reda pengisytiharan kerajaan
30 Januari 2015 1:51 AM
KUALA LANGAT 29 Jan. – Ibu kepada salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370, Muzi Yusof reda dengan pengumuman kerajaan yang mengisytiharkan anaknya bersama-sama 238 orang lagi penumpang pesawat itu dianggap telah kehilangan nyawa mereka.
Saimah Sidek, 70, ketika ditemui di kediamannya di Jenjarom di sini, berkata, sebagai umat Islam beliau menerima perkara itu sebagai kententuan Allah SWT meskipun perasaan kecewanya wujud.
Namun, beliau sedar bahawa pelbagai pihak khususnya pihak berkuasa telah melakukan usaha yang terbaik bagi mencari pesawat tersebut di Lautan Hindi dengan kerjasama pelbagai negara.
“Perasaan sedih, kecewa itu memanglah ada lebih-lebih lagi apabila mendengar pengumuman tersebut hari ini. Bagaimanapun, saya reda dengan pengumuman itu.
“Namun, saya masih mengharapkan usaha mencari pesawat itu diteruskan supaya segala persoalan kehilanganya terjawab,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika menerima kunjungan kepimpinan UMNO Bahagian Kuala Langat yang diketuai Datuk Sulaiman Karli.
Tambah Saimah, beliau sentiasa mendoakan kesejahteraan anaknya itu yang berusia 50 tahun ketika insiden kehilangan tersebut dilaporkan berlaku hampir setahun lalu.
Sementara itu, Sulaiman ketika ditemui di sini berkata, pengumuman oleh pihak kerajaan hanya untuk memudahkan urusan waris kesemua penumpang MH370 dan berharap usaha mencari diteruskan sehingga bukti kehilangan pesawat ditemui.
“Saya sentiasa memantau perjalanan pencarian MH370, seperti orang lain saya juga ingin tahu ke mana pesawat sebesar itu hilang. Apa pun sebagai umat Islam kita reda dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan Allah SWT,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/keluarga-muzi-reda-pengisytiharan-kerajaan-1.54214#sthash.pMVy3iAl.dpuf
No comments:
Post a Comment