Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 7 January 2015

Inisiatif perpaduan UMNO-Pas Hussamuddin, satu harapan

ZAINI HASSAN | 07 Januari 2015 1:37 AM



Hussamuddin Yaacub

INISIATIF perpaduan UMNO-Pas tauke suratkhabar Sinar Harian, Hussamuddin Yaacub tiba tepat pada masanya.

Ia datang daripada hati nurani seorang anak Kelantan yang totok. Hussamuddin bukan calang-calang dalam dunia korporat. Beliau telah menceburi dalam perniagaan sejak berpuluh-puluh tahun lalu, malah sejak kecil melalui kedai buku bapanya “Toko Buku Yaacub Idris” di Kota Bharu.

Bermula dari kerdil dalam dunia penerbitan kini beliau antara usahawan media yang berjaya.

Jika sudah berjaya, maka apa sahaja katanya boleh diangkat. Dia bercakap sebagai anak negeri itu, negeri yang musnah akibat bencana alam. Tiada siapa yang terfikir Kelantan menghadapi bencana sebegitu buruk ala tsunami di Aceh.

Aceh mengambil masa 10 tahun untuk dibangunkan semula. Disember lalu tepat sedekad tsunami melanda muka bumi ini. Ratusan ribu makhluk ditelan gelombang. Aceh juga musnah akibat permusuhan dan kebencian yang amat sangat antara manusia. Namun Serambi Mekah itu bersatu semula sebagai satu bangsa Indonesia setelah kemusnahan itu.

“Jika tiada tsunami mungkin kami akan terus berperang,” kata seorang warga Aceh semasa kunjungan saya ke situ baru-baru ini.

Sebuah kapal pencawang tenaga elektrik Apung 1, terpaksa diletakkan di luar pantai Aceh kerana pihak pemberontak ketika itu tidak membenarkan Jakarta membina di atas darat. Namun tsunami memperlihatkan janakuasa itu dibawa arus sehingga lima kilometer ke daratan kampung Punge Blang Cut, Kota Banda Aceh. Ia kini menjadi monumen simbol perpaduan negeri itu.

Akhirnya, ketua pemberontak yang berada di Sweden, Zaini Abdullah dan panglima perangnya dalam hutan, Muzakir Manaf meletak senjata. Kedua-duanya kemudian dilantik sebagai gabenor dan timbalan gabenor di tanah Aceh itu.

Hussamuddin ikhlas ketika mem­­bawa gagasan itu. Saya percaya beliau bukan berpolitik.

Sudah-sudahlah. Gagasan itu datang secara tiba-tiba. Orang Kelantan diaspora terkejut melihat magnitud banjir merah yang begitu hebat melanda negeri mereka. Apakah ini ujian yang diturunkan Allah SWT akibat ketaksuban selama ini?

Orang Kelantan terkenal sebagai satu suku etnik Melayu yang lain daripada yang lain di negara ini. Mereka mengaku mereka hebat. Mereka mahu lain daripada yang lain.

Mereka berbangga sebagai orang Kelantan, yang juga diberi jolokan negeri Serambi Mekah.

Apakah ini ujian yang diturunkan? Sebagaimana orang Indonesia mengatakan bahawa orang Aceh lain daripada suku kaum lain di republik itu. Aceh mendakwa merekalah bangsa yang paling dekat dengan Allah, paling hebat dan paling alim berbanding suku kaum lain.

Namun ujian Allah SWT telah mengubah segala-galanya. Jika sebelum tsunami mereka hanya bercakap mengenai Islam dan hudud. Kini akhirnya syariah itu sudah dilaksanakan.

Kita berharap inisiatif dan gagasan yang dibawa Hussamuddin itu dapat dicetuskan segera.

Pedulikan apa yang diperkatakan oleh Naib Presiden Pas, Husam Musa. Beliau bukan ada apa-apa lagi dalam politik dan kerajaan Kelantan.

Sungguh takbur apabila Husam berkata ‘‘kalau saya mati, nak bergabung-bergabunglah, bukan tidak boleh bergabung, tapi nak bergabung ini biarlah ahli selesa, Pas, UMNO selesa...’’

Nadanya hampir sama dengan Nik Aziz semasa menjadi MB dahulu. Semua orang tahu Husamlah penasihat rapat kepada Nik Aziz pada masa itu. Jika Husam juga menuduh Hussamuddin cuba me­lariskan akhbarnya dengan membangkitkan isu kerajaan perpaduan itu, saya rasa itu tidak betul.

Akhbar kendaliannya merupakan akhbar paling laris di Kelantan. Husam hanya beri alasan.

Yang pasti Husam takut dengan idea gagasan itu. Beliau bimbang peluangnya dalam politik Kelantan akan terkubur dengan gagasan itu. Husam, sebagaimana politikus berjiwa halus, hanya pentingkan diri sendiri.

Kelantan dan rakyatnya cukup unik. Bukan semua seperti Husam. Ramai lagi yang seperti Hussamuddin.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob sekarang pun bukan seperti Nik Aziz. Bekas guru sekolah kerajaan itu faham dengan apa yang berlaku.

“Saya bukan seperti Nik Aziz. Saya tidak cakap politik...” katanya semasa saya berkunjung ke atasnya beberapa bulan selepas beliau dilantik sebagai MB tidak lama dulu.

Saya dapat membaca bahasa badannya. Beliau lain. Beliau ikhlas dalam melaksanakan tugasnya. Beliau tidak banyak bercakap. Beliau tidak juga membuat fatwa itu dan ini.

Kepemimpinan Pusat selesa de­ngan beliau. Hanya Husam sahaja yang kata ahli-ahli Pas dan UMNO tidak selesa dengan gagasan itu.

Saya yang cukup dekat dengan Kelantan. Kelantan menjadi negeri yang banyak melatih saya mengenai kewartawanan politik dan perkembangan ini amat gembirakan saya.

Di Kelantanlah saya yang dihantar bertugas sebaik sahaja Nik Aziz menduduki kerusi MB. Saya melihat orang Kelantan tidak habis-habis cakap politik. Siang malam politik.

Sudah hampir 30 tahun berpolitik. Sudah-sudahlah tu. Kelantan amat berpotensi menjadi antara negeri termaju di negara ini sekiranya inisiatif Hussamuddin ini direalisasikan.

Jika komunitinya maju jaya di luar Kelantan, tidak mustahil negeri Melayu itu akan lebih maju. Kelantan dan Pusat perlu disepadukan.

Pas dan UMNO; UMNO dan Pas perlu disatukan. Jika berjaya maka ia akan menjadi satu kesatuan dan kekuatan yang tiada sesiapa boleh nafikan.

Itulah yang paling ditakuti ba­nyak pihak, sebenarnya...

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/inisiatif-perpaduan-umno-pas-hussamuddin-satu-harapan-1.45346#sthash.xgYdEEyP.dpuf

No comments: