26 Januari 2015 1:14 AM
Harussani Zakaria
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Kerajaan diminta tidak terlalu mengikut kaedah atau sistem perundangan Barat dalam usaha melindungi hak dan kepentingan kanak-kanak di negara ini.
Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria berkata, meskipun sistem perundangan di negara luar itu terbukti berkesan dalam mendidik generasi muda, tidak semestinya sesuai untuk diguna pakai di negara ini.
Katanya, pihak berkuasa perlu menggunakan kaedah tersendiri dalam mendidik generasi muda di negara ini kerana situasi dan budaya Malaysia dengan negara luar adalah berbeza.
“Saya tidak bersetuju sekiranya tindakan merotan anak menjadi satu kesalahan jenayah kerana hadis Nabi Muhammad SAW ada menyebut bahawa perintahkanlah anakmu mendirikan solat ketika usianya tujuh tahun dan pukullah mereka sekiranya sudah berusia 10 tahun.
“Sebagai orang Islam, kita sepatutnya akur dengan pesanan Nabi Muhammad ini kerana pasti ada hikmah, jangan sesekali kita menafikan dan mengagung-agungkan cara Barat melebihi cara Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.
Sementara itu Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, dalam Islam, sebatan merupakan suatu hukuman pemulihan yang disyariatkan untuk melatih isteri dan anak-anak supaya melakukan sesuatu kewajipan.
Katanya, suami dibenarkan untuk memukul isteri bagi tujuan mendidik sahaja tanpa mencedera dan tidak menjatuhkan maruah isteri tetapi kaedah itu disifatkan sebagai senjata terakhir selepas semua jalan lain gagal iaitu dengan memberikan teguran serta mengasingkan tempat tidur.
Tambah beliau, kaedah yang sama turut diguna pakai sekiranya ibu bapa merotan anak-anak iaitu tidak boleh memukul mereka di tempat yang sama hingga memudaratkan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/guna-kaedah-sendiri-didik-generasi-muda-1.52559#sthash.RvjZqZp5.dpuf
Anak muda sekarang semakin liar – Hashim
Anak muda sekarang semakin liar – Hashim
26 Januari 2015 1:14 AM
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Keputusan tergesa-gesa kerajaan untuk menggubal rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang akan menjadikan perbuatan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah, boleh mendatangkan kesan jangka panjang yang buruk pada negara.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, kerajaan harus melihat kesan dari pelbagai sudut sebelum meneruskan hasrat tersebut.
“Merotan sudah menjadi budaya dalam mendidik anak-anak, saya bimbang, jika rang undang-undang ini dilaksanakan, mereka akan menjadi lebih liar kerana rasa dilindungi dan tiada rasa takut untuk membuat salah.
“Mungkin kita tidak dapat melihat kesannya sekarang, tetapi dalam jangka masa panjang, kadar jenayah mungkin akan meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Hashim berkata, jika melihat dari sudut positif, penggubalan akta itu akan mengekang ibu bapa daripada sewenang-wenangnya memukul anak.
“Apa yang bagus adalah kita dapat mengelak daripada berlakunya merotan yang boleh membawa kepada penderaan.
“Merotan untuk mengajar adalah bagus, tetapi penderaan pula boleh memberi kesan kepada mental dan fizikal kanak-kanak yang belum kuat, tambahan pula dengan pengaruh dari pelbagai aspek masa kini,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/anak-muda-sekarang-semakin-liar-8211-hashim-1.52565#sthash.PPEkbPAS.dpuf
No comments:
Post a Comment