Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 2 January 2015

PENGAJARAN TSUNAMI DAN BANJIR

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD (TUNABDULHAMID@GMAIL.COM) | 02 Januari 2015 

12:31 AM


SERAMAI 200 orang yang terdiri daripada ahli UMNO dan Pas bersatu hati mengadakan bantahan terhadap kenyataan seorang pemimpin DAP yang menyentuh sensitiviti umat Islam di Balai Polis Chini, Pekan, Pahang pada 2012. – GAMBAR HIASAN

ACEH di Indonesia mem­punyai banyak persama­an dengan Kelantan di Malaysia. Kedua-duanya adalah pusat perkembangan Islam di negara masing-masing. Penduduk di kedua-dua negeri atau provinsi itu menganggap negeri atau provinsi mereka, malah diri mereka, ‘lebih Islam’ daripada negeri, provinsi atau penduduk di bahagian lain di negara masing-masing.

Kedua-duanya hendak melaksanakan hudud. Semenjak Indonesia merdeka, Aceh berjuang untuk keluar dari Indonesia untuk ‘menubuhkan sebuah negara Islam’.

Semasa Semenanjung Tanah Melayu menuntut kemerdekaan, ada kumpulan di Kelantan yang mahu Kelantan keluar dari Semenanjung Tanah Melayu ‘untuk menjaga kedudukan Kelantan sebagai sebuah negeri Melayu dan Islam’. Lebih dua pertiga daripada tempoh selepas merdeka, Kelantan di perintah oleh parti pembangkang berjenama Islam.

Sepuluh tahun dahulu, Aceh dilanda tsunami yang menyebabkan korban jiwa dan kemusnahan harta benda yang tidak terhingga. Sekarang, Kelantan pula dilanda banjir, walaupun kesannya tidak seteruk tsunami di Aceh, mungkin yang paling teruk dalam sejarahnya.

Akibat tsunami di Aceh, Kerajaan Indonesia dan Pemberontak Aceh bersetuju untuk berdamai.

Bagaimana pula dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Kelantan, khususnya UMNO dan Pas? Tidakkah ada sesuatu pengajaran yang boleh diambil daripada Aceh? Tidakkah malapetaka itu sepatutnya memberi keinsafan untuk memikirkan perkara yang lebih besar dan utama yang melibatkan agama, bangsa dan negara daripada kepentingan diri dan parti?

Dalam ucapan-ucapan dan rencana-rencana saya sebelum ini saya menghujahkan mengapa, dalam keadaan politik di Malaysia sekarang, UMNO dan Pas perlu be­kerjasama.

Ringkasnya, disebabkan oleh perpecahan orang Melayu, orang bukan Melayu terutama sekali orang Cina, telah memperkuatkan kedudukan politik mereka.

Seterusnya saya menghujahkan, akibat perpecahan orang Melayu yang menyaksikan kedudukan politik mereka tidak sekuat sebelum ini, hak-hak orang Melayu dan Anak Ne­geri Sabah dan Sarawak serta kedudukan agama Islam akan tergugat.

Maka, demi mengelaknya berlaku dan untuk mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang mestilah dipertahankan.

Satu-satunya jalan untuk berbuat demikian ialah dengan orang Melayu bersatu semula, khususnya UMNO dan Pas hendaklah bekerjasama, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan.

Daripada pemerhatian saya, UMNO lebih bersedia untuk bekerjasama dengan Pas. Yang menjadi persoalan hanya caranya.

Pas sebaliknya lebih keras tidak mahu bekerjasama dengan UMNO biarpun antara penghalang utamanya, iaitu fahaman yang “Pas Islam UMNO kafir” sudah tidak ada. Pas sudah tidak berkata ‘UMNO kafir’ lagi malah ia tidak suka diperingatkan bahawa ia pernah berkata demikian. Tanpa ‘sebab akidah’ itu, sebab-sebab lain yang tinggal hanyalah ‘sebab-sebab keduniaan’ yang tidak berbeza daripada apa yang ditakuti oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan penyokong-penyokong mereka.

Mari kita lihat antara sebab-sebab mengapa Pas kurang cende­rung (atau tidak bersedia) bekerjasama dengan UMNO.

Pertama, Pas serik dengan apa yang pernah berlaku dahulu.

Biar apa pun yang pernah berlaku (saya tidak berkata siapa benar siapa tidak dalam hal itu) soalannya, adakah kerana ‘serik’, Pas tidak mahu berfikir lagi apa yang akan terjadi kepada kedudukan agama Islam dan orang Melayu yang di peringkat awal perjuangan menjadi dua asas yang paling penting kepada parti itu? Adakah kerana marah kepada UMNO, Pas tidak peduli lagi apa yang akan terjadi kepada kedudukan agama Islam dan orang Melayu di Malaysia?

Kedua, dalam Pas sekarang terdapat kumpulan ‘bukan ulama’. Kumpulan ini mengagung-agungkan pemimpin dan Parti Komunis Malaya; menyokong Gereja Katholik dalam isu kalimah Allah dan nampaknya menyokong apa sahaja yang dicadangkan oleh DAP, semata-mata untuk mendapat undi orang bukan Melayu untuk terus menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

Golongan ini telah menyimpang jauh dari perjuangan asal Pas. Jadi adalah lebih baik Pas menyingkirkan mereka.

Pas tidak patut takut kehilangan penyokong-penyokong Melayu/Islam. Mereka menyertai Pas kerana ulama yang memimpin Pas, bukan kerana kumpulan itu.

Jika Pas dapat mengatasi dua faktor itu, saya fikir alasan yang tinggal hanyalah sama dengan alasan yang dikhuatiri oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan penyokong-penyokong mereka.

Soalan kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas ialah apakah yang mereka perjuangkan? Kepen­tingan agama, bangsa dan negara atau kepentingan diri? Fikirkanlah.

PENULIS ialah bekas Ketua Hakim Negara.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/pengajaran-tsunami-dan-banjir-1.43463#sthash.zGXtwc9k.dpuf


No comments: