02 Januari 2015 1:59 AM
ANAK kapal helikopter Super Puma Tentera Udara Indonesia memantau menerusi tingkap dalam operasi mencari mangsa pesawat AirAsia QZ8501 di Laut Jawa, semalam. – AFP
JAKARTA 1 Jan. - Mungkinkah pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 melakukan pendaratan cemas sebelum terhempas ke laut?
Itulah antara beberapa spekulasi yang dibuat oleh pelbagai pihak di negara ini berikutan penemuan bangkai pesawat itu yang disahkan terhempas di Laut Jawa.
Bekas Ketua Staf Angkatan Udara Indonesia Chapy Hakim berkata, buat masa ini perkara yang paling munasabah untuk diperkatakan ialah pesawat malang itu melakukan pendaratan cemas di atas laut.
Katanya, keadaan mayat mangsa yang ditemukan setakat ini memberi petunjuk bahawa pesawat yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada Ahad lalu tidak terhempas seperti mana dijangkakan oleh banyak pihak.
“Apa sebenarnya berlaku kita belum pasti, tetapi sekurang-kurangnya berdasarkan perkembangan terkini adalah jelas pesawat itu tidak terhempas, sebaliknya juruterbang berusaha melakukan pendaratan cemas,’’ katanya seperti dilaporkan oleh media Indonesia.
Seorang lagi penganalisis penerbangan, Samudera Sukardi berpendapat, pesawat AirAsia Indonesia itu mungkin hilang kawalan disebabkan cuaca buruk seperti merempuh awan kumulonimbus sehingga mengalami gegaran.
“Dalam keadaan itu, pesawat sukar terkawal sehingga menyebabkan ia terhempas,’’ katanya.
Beliau berkata, pandangan itu berasaskan kepada permintaan juruterbang yang meminta kebenaran daripada pusat kawalan udara untuk naik dari paras 32,000 kaki kepada 38,000 kaki dan mengubah laluan ke kiri.
Penganalisis penerbangan, Arista Atmadjati pula berpendapat, pesawat itu seperti tersalah arah dari rancangan penerbangan asal mungkin disebabkan radar dan sistem pesawat rosak sehingga kapalterbang itu tidak boleh dikendalikan.
“Juruterbang berusaha mengawal pesawat namun tidak berjaya, disebabkan terkena petir ketika memasuki awan kumulonimbus sehingga sistem kokpit rosak,” ujarnya.
Mengulas keadaan mayat mangsa yang masih sempurna, Arista berkata, kemungkinan besar ketika pesawat menjunam ke dalam laut, semua penumpang telah memakai tali pinggang keselamatan.
“Jadi mereka masih terikat di kerusi masing-masing memandangkan pesawat tidak berkecai. Tetapi selepas tiga hari mayat bertaburan memandangkan pintu pesawat sudah tertanggal,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/pesawat-lakukan-pendaratan-cemas-1.43613#sthash.ITtuoV7Q.dpuf
No comments:
Post a Comment