NORLIZAH ABAS | 22 Januari 2015 1:41 AM
PENGARANG majalah mingguan The Herald, Paderi Lawrence Andrew ditemubual media selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik menggunakan kalimah Allah di Putrajaya, semalam – Utusan/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
PUTRAJAYA 21 Jan. - Pertikaian isu kontroversi berhubung penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu dimuktamadkan apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh Gereja Roman Katolik.
Ini bermakna pihak gereja dilarang sama sekali menggunakan kalimah suci itu dalam penerbitan The Herald versi bahasa Melayu sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2013.
Ketetapan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim mahkamah tertinggi negara diketuai oleh Tan Sri Abdull Hamid Embong yang bersidang bersama Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed.
Gereja Roman Katolik memohon menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang tidak membenarkannya merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepadanya.
Mahkamah berpuas hati bahawa permohonan pihak gereja gagal melepasi ‘bendul’ (threshold) atau tahap tertentu yang membolehkan permohonan semakan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, dibenarkan.
Pada hemat kuorum itu, Mahkamah Persekutuan terdahulu tidak melakukan sebarang ketidakadilan prosedur ketika menolak permohonannya bagi mendapat kebenaran merayu.
Hakim Abdull Hamid ketika membacakan keputusan ringkasnya menjelaskan, ketidakadilan prosedur merupakan salah satu daripada empat elemen yang membolehkan permohonan semakan dibenarkan.
Tiga lagi elemen ialah berat sebelah, kegagalan kuorum bersidang serta penipuan dan perkara itu telah dimuktamadkan dalam beberapa keputusan antaranya dalam kes bekas pengarah urusan kumpulan Kian Joo Can Factory Bhd. (KJCF), Datuk See Teow Chuan.
Prinsip dalam kes itu menyatakan, hak untuk menyemak kes Mahkamah Persekutuan hanya diberikan jika melibatkan keadaan kes yang terkecuali dan jarang berlaku.
Panel tersebut berpendirian, pendekatan yang ketat itu telah diamalkan sejak berabad-abad lamanya oleh undang-undang Inggeris bahawa sebarang pertikaian di mahkamah rayuan tertinggi perlu ada titik penyudahnya.
Hakim Abdull Hamid selanjutnya menyatakan, peguam Datuk Dr. Cyrus V. Dass yang mewakili pihak gereja membangkitkan isu bahawa Mahkamah Persekutuan terdahulu melakukan ketidakadilan prosedur ketika menolak kebenaran merayu.
Hujah peguam bela, perkara itu berhubung Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Dalam Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dan pandangan hakim bersidang berkaitan isu kepentingan awam.
Bagaimanapun, mahkamah tidak bersetuju dengan penghujahan Dass yang menyatakan panel terdahulu melakukan ketidakadilan prosedur kerana membuat keputusan berdasarkan butiran yang tidak dihujahkan oleh mahkamah sebelumnya.
“Kami telah membincangkan penghujahan yang dikemukakan serta prinsip dalam Kaedah 137 dan berpuas hati bahawa Mahkamah Persekutuan terdahulu tidak melakukan ketidakadilan prosedur ketika menolak permohonan gereja bagi mendapat kebenaran merayu,’’ ujar beliau.
Dengan keputusan itu, Gereja Roman Katolik terlepas segala peluang untuk merayu keputusan terdahulu yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald versi bahasa Melayu.
Pada 23 Jun tahun lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-3 menolak permohonan gereja bagi mendapat kebenaran merayu.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel bersidang mencapai keputusan majoriti bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar.
Sementara itu, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha mencapai keputusan yang bertentangan.
Pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri, kerajaan Malaysia, pihak berkuasa agama terdiri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Kedah, Selangor dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) selaku responden pertama hingga kesembilan.
Pada 2009, Gereja Roman Katolik diketuai Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.
Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 memutuskan bahawa perintah KDN tersebut adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.
Majalah mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Melayu, terutamanya bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/the-herald-tidak-dibenarkan-guna-kalimah-allah-1.50956#sthash.HPgQ39AC.dpuf
No comments:
Post a Comment