Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 18 December 2014

Sultan Nazrin sebak kenang amanat ayahanda

RODELIO JUNJUN TAUCAN | 18 Disember 2014 2:31 AM


SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH sebak ketika menerima persalinan jubah bekas Canselor Universiti Malaya, Almarhum Sultan Azlan Shah daripada Prof. Dr. Mohd. Amin Jalaludin (kanan) pada Majlis Memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebak ketika mengenang kembali amanat ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah 35 tahun lalu mengenai pentingnya perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia terus dipelihara.

Baginda yang kelihatan mengalirkan air mata mengenangkan pesanan itu bertitah, suasana negara sekarang menyaksikan ramai rakyat semakin cenderung mencetuskan isu-isu sensasi sehingga menjejaskan hubungan harmoni antara kaum selain berpotensi mencetuskan konflik agama dan perkauman.

Sehubungan itu baginda menyeru semua pihak memahami atau membaca kembali pesanan tersebut yang dizahirkan Almarhum dalam pidato pada 30 Jun 1979 menyentuh mengenai prinsip-prinsip asas penubuhan negara ini.

Jelas baginda, pidato dizahirkan semasa majlis Pidato Penghargaan Graduan Kehormat sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) tersebut merupakan satu antisipasi dan peringatan yang mendahului waktu khususnya untuk rakyat Malaysia.

“Mesej utama yang terkandung dalam pidato tersebut menyentuh aspek-aspek keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

“Pentingnya negara memiliki badan kehakiman yang bebas berkecuali dan mahkamah mestilah mengenali keadilan, berkawan mesra dengan kedaulatan undang-undang, bersahabat rapat dengan kebenaran dan berjinak-jinak dengan kejujuran,” titah baginda dalam nada yang sesekali tersekat-sekat.

Baginda bertitah demikian dalam majlis Memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah yang juga bekas Canselor UM selama 28 tahun di universiti itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin.

Titah baginda itu menyebabkan para hadirin yang memenuhi Dewan Tunku Canselor senyap, malah sebahagian daripadanya kelihatan turut mengalirkan air mata.

Sementara itu, Sultan Nazrin yang kini dilantik Canselor UM menggantikan ayahandanya berkata, Almarhum turut pernah mengingatkan agar pemimpin politik tidak menjadikan universiti sebagai salah satu pentas untuk berpolitik.

Titah baginda, peringatan itu dizahirkan pada tahun 1987 berikutan telah terbukti mana-mana universiti yang mendapat campur tangan luar akan menyebabkan kemerosotan dalam mutu akademiknya.

“Sultan Azlan Shah secara konsisten menegaskan pentingnya universiti merangka kandungan pendidikan yang holistik, merangkumi aspek agama, intelek, nilai-nilai murni dan integriti.

“Titah tersebut dizahirkan 27 tahun lalu. Namun, kata-kata pe­ringatan tersebut adalah mutiara kata yang wajib dijadikan pedoman demi menjamin mutu akademik universiti tidak dikorbankan oleh faktor-faktor bukan akademik,” titah baginda.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-nazrin-sebak-kenang-amanat-ayahanda-1.37898#sthash.eFHt1Ms0.dpuf


No comments: