Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 23 December 2014

PENDIDIKAN : PT3: Keputusan ‘mengejutkan’

Beberapa sekolah luar bandar catat A semua mata pelajaran

SOFIAN BAHAROM, AZHARI ZAINOODDIN, NORLIZA 
MOHAMAD ZAKARIA, 
SALEHUDIN MAT RASAD 
DAN NAZWIN IZAN AHMAD NAZRI | 23 Disember 2014 2:14 AM


PELAJAR-PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah, (dari kiri), Ashlisya Murshed Munir, Nur Arifah Aiddid, Siti Hajar Othman Siru, Shahirah Shamzul, Nadia Ramlan dan Mawaddah Faisal ceria sambil menunjukkan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 setelah memperoleh 5A hingga 7A di Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Hasil sulung pelaksanaan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini menyaksikan keputusan yang ‘mengejutkan’ dengan beberapa sekolah di luar bandar mencatatkan keputusan semua A dalam semua mata pelajaran.

Pada masa sama, kebanyakan sekolah ternama pula mencatatkan kemerosotan mendadak jumlah pelajar yang mencatat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil di negara ini.

Di TERENGGANU, sebanyak 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, Kemaman mendapat keputusan cemerlang 11A dan 10A bagi PT3 mereka.

Pengetuanya, Azizah Jusoh berkata, pihaknya tidak dapat membuat perbandingan mengenai pencapaian para pelajar kerana PT3 hanya bermula tahun ini, tetapi menyifatkan keputusan itu sebagai permulaan yang baik.

“Kami berbangga dengan pencapaian mereka yang turut mendapat A dalam pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

“Kami berharap kepada mereka yang berjaya agar terus kekal dengan SMK Mak Lagam hingga mencapai keputusan terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyerahan sijil kepada para pelajar.

Di PULAU PINANG, antara sekolah cemerlang yang terkesan dengan keputusan kurang memberangsangkan daripada pelaksanaan PT3 itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, SMK Agama Al-Irshad, SMK (P) St. George’s dan SMK Agama Al-Mashoor (L).

Pengetua SMK Bukit Jambul, Noorzeela Abu Bakar berkata, hanya enam daripada 183 calon PT3 sekolah itu mencatatkan keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diduduki mereka.

“Sukar untuk kita membandingkan pencapaian PT3 ini dengan PMR (Penilaian Menengah Rendah) kerana format kedua-dua peperiksaan jauh berbeza. Melalui PT3 pelajar diuji dengan soalan berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan tiada soalan berbentuk objektif seperti PMR sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, di SMK Agama Al-Mashoor (L) pula, hanya dua daripada seramai 121 pelajarnya berjaya mendapat keputusan semua A dalam PT3.

Pengetuanya, Abd. Razak Osman berkata, keputusan itu mengecewakan dan jauh berbeza jika dibandingkan dengan PMR tahun lalu.

“Keputusan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik juga tidak memuaskan berbanding mata pelajaran lain. Kita akan menilai pencapaian PT3 ini dengan memberi fokus kepada punca pelajar gagal mendapatkan keputusan cemerlang supaya program penambahbaikan boleh dirangka segera,” katanya.

Sementara itu di MELAKA, SMK Infant Jesus Convent mencatat seramai sembilan pelajar cemerlang daripada 219 pelajar tingkatan tiga sekolah itu dalam PT3.

Pengetuanya, Norizan Ismail berkata, secara keseluruhan, sekolah itu memperoleh tidak kurang daripada 60 pelajar yang cemerlang dalam PMR sebelum ini.

“Memang keputusan jauh berbeza yang mana sekolah ini memperoleh hanya sembilan pelajar cemerlang dalam PT3 yang merupakan salah satu komponen dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Para pelajar pada tahun depan akan diberikan laporan bagi setiap komponen ini dan ibu bapa tidak boleh bandingkan dengan PMR kerana ini merupakan sebahagian daripada PT3.

“Format soalannya pun berbeza, kalau PMR dalam bentuk objektif tetapi PT3 semuanya dalam bentuk subjektif malah dimasukkan pula kemahiran berfikir aras tinggi sebagai persediaan para pelajar untuk menduduki peperiksaan di tingkatan lima nanti,” katanya.

Kata Norizan, pencapaian kurang memberangsangkan adalah dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam pada itu, di PAHANG, Pengetua SMK Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan, Mohd. Yunus Mahil berkata, keputusan PT3 membabitkan 257 calon di sekolah berkenaan adalah kurang memuaskan.

“Kita sudah jangka kerana ini merupakan kali pertama PT3 diperkenalkan. Misalnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik boleh dikatakan majoriti calon PT3 di sekolah ini tidak menguasai tahap minimum atau mendapat keputusan F.

“Ibu bapa tidak perlu terkejut dan risau, kita baru hendak menyesuaikan diri dengan PT3, sudah tentu ada sedikit kesan dengan keputusannya jika dibandingkan rekod-rekod sekolah pada PMR sebelum ini. PT3 adalah satu usaha jangka panjang kerajaan dan memerlukan kerjasama semua pihak bermula dari ibu bapa sehinggalah pihak pengurusan sekolah,” katanya.

Di Maran, berlaku penurunan jumlah pelajar cemerlang yang mendapat A dalam semua mata pelajaran berbanding PMR sebelum ini.

Berikutan itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa sekolah menengah di daerah ini mendapati keghairahan pelajar untuk ‘meraikan’ keputusan PT3 tidak semeriah berbanding sewaktu PMR dahulu berikutan kekurangan ramai calon cemerlang.

Bagaimanapun bagi Pengetua SMK Jengka Pusat, Mohd. Rozi Mat Sani yang ditemui, kekurangan bilangan pelajar cemerlang disebabkan aras soalan yang dikemukakan kepada calon adalah soalan Kbat.

Menurut beliau, ini berikutan PT3 menguji keupayaan pelajar menguasai proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan juga PBS yang ingin dicapai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan.

“Lima aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan, inilah yang perlu dicapai oleh pelajar.

“Justeru, kita rasional dengan perubahan sistem pendidikan negara yang berteraskan kepada kemampuan pelajar itu sendiri dalam menguasai proses pendidikan yang bersifat global dan berdaya saing,” katanya.

Di PERAK, Pengetua Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh, Noor Aini Zainal Abidin berkata, daripada 123 pelajarnya yang menduduki PT3 tahun ini, hanya 22 pelajar mendapat keputusan 7A ke atas.

Katanya, keputusan itu agak menyedihkan kerana sasaran awal berdasarkan pencapaian tahun sebelumnya adalah lebih 60 pelajar akan memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran.

“Jika dilihat kepada keputusan itu, kita tidak berpuas hati tetapi keputusan ini tidak boleh dibandingkan dengan PMR kerana pembelajarannya yang berbeza.

“Oleh itu, kita perlu mengkaji semula kaedah dan strategi baru bagi menghadapi PT3 pada tahun hadapan. Bagaimanapun, apa yang membanggakan kebanyakan pelajar yang cemerlang ini adalah mereka yang seimbang dalam penglibatan aktiviti luar dan pelajaran,” katanya.- 

See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pt3-keputusan-8216-mengejutkan-8217-1.39996#sthash.fh52N8rS.dpuf

No comments: