Kelincahan Chanathip, Kroekrit, Adisak tarik perhatian Dollah
16 Disember 2014 1:10 AM
Chanathip SONGKRASIN (kiri) dan Kroekrit Thawikan bakal mendapat layanan ‘istimewa’ daripada Harimau Malaya apabila Thailand menentang Malaysia dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF di Bangkok, esok.
BANGKOK - Kelibat pemain lincah Thailand, Chanathip Songkrasin yang dilabel sebagai ‘Lionel Messi Thailand’ akan diberi perhatian khas oleh jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF di Stadium Rajamangala, esok.
Bagi Dollah, beliau melihat aksi pemain berusia 21 tahun itu hampir sama seperti bintang Sepanyol dan Barcelona, Andres Iniesta.
Chanathip yang beraksi buat kelab BEC Tero Sassana menjadi duri dalam daging buat Malaysia dalam perlawanan peringkat kumpulan di Singapura, 26 November lalu.
Selain itu, Dollah turut waspada dengan penjaring dua gol ketika berdepan Filipina pada separuh akhir kedua, Kroekrit Thaweekarn yang disifatkan penuh dengan elemen kejutan di atas padang, begitu juga penyerang, Adisak Kraisorn.
“Ada dua pemain dalam pasukan Thailand yang saya bimbangkan iaitu No. 18 (Chanatip) dan No. 4 (Kroekrit). Mereka berdua cukup berbahaya.
“Pemain No. 18 (Chanatip) diberi jolokan Messi Thailand kerana aksi lincahnya, namun saya nampak dia macam Iniesta dan kita akan cuba menyekatnya.
“Seorang lagi adalah No. 4 (Kroekrit). Dia suka diam-diam datang dari belakang dan itu yang dia lakukan semasa lawan Filipina apabila menjaringkan dua gol,” katanya ketika ditemu di Stadium SCG Muangthong United, semalam.
Dalam pada itu, Adisak yang mendapat kad merah dalam separuh akhir pertama di Manila boleh beraksi pada pertemuan dengan Harimau Malaya.
Ini berikutan syarat kejohanan yang menetapkan pemain yang mendapat kad merah hanya digantung satu perlawanan kecuali melakukan tindakan yang berbaur keganasan.
Situasi itu mengejutkan Dollah yang pada mulanya menjangkakan penjaring dua gol ketika berdepan Harimau Malaya itu tidak akan diturunkan kerana masih digantung perlawanan.
“Saya terkejut juga dengar perkhabaran ini kerana saya ingatkan dia masih digantung, namun tidak mengapa, itu tidak menjejaskan perancangan saya.
“Tidak guna kalau kita fikirkan pemain mana yang akan mereka turunkan kerana apa yang penting pemain kena kekalkan disiplin dan fokus semasa permainan,” katanya.
Menilai kembali persembahan Harimau Malaya semasa bertemu Thailand di peringkat kumpulan, Dollah berkata, beliau sebenarnya berpuas hati dengan corak permainannya pemain walaupun kalah.
“Saya sebenarnya berpuas hati lagi dengan prestasi mereka semasa kalah dengan Thailand jika hendak dibandingkan menang bertemu Singapura,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/awasi-8216-iniesta-8217-thailand-1.36952#sthash.fWzZBcDo.dpuf
No comments:
Post a Comment