12 Disember 2014 12:42 AM
WASHINGTON 11 Dis. – Laporan Senat Amerika Syarikat (AS) yang mendedahkan penderaan kejam oleh Biro Penyiasat Pusat (CIA) ke atas suspek pengganas kelmarin, membangkitkan kemarahan masyarakat dunia yang mahu ejen dan pegawai kanan agensi risikan itu dibawa ke muka pengadilan.
China dan Iran yang rekod hak asasi manusianya sering dikritik Washington, mengecam perbuatan itu termasuk Jerman dan negara baharu pro AS, Afghanistan.
“Sebarang pelanggaran kepada keterbukaan, nilai-nilai demokratik sepatutnya tidak berlaku lagi,’’ kata Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier menggambarkan rasa malu sekutu Amerika di Eropah.
Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Catherine Ray dalam pada itu mengalu-alukan ketelusan laporan Senat namun memberi amaran perbuatan itu meningkatkan persoalan penting tentang perlanggaran hak asasi oleh pihak berkuasa AS.
China yang merupakan kuasa saingan Amerika menerusi jurucakap kementerian luarnya, Hong Lei menyatakan pendirian tegas negara tersebut.
“China secara konsisten menentang amalan penyeksaan. Kami percaya AS perlu mencermin diri, perbetulkan cara mereka dan mematuhi peraturan ditetapkan konvensyen antarabangsa,’’ katanya.
Iran yang menyedari laporan itu adalah peluang terbaik buat negara itu ‘menghentam’ seteru utama negara berkenaan tidak terkecuali mengkritik Amerika.
Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menerusi tweetnya mengisytiharkan Amerika adalah ‘simbol kezaliman terhadap kemanusiaan’ bukan hanya merujuk kepada program penyeksaan CIA malah kepada penguatkuasaan undang-undang tempatannya.
Afghanistan sementara itu menerusi Presiden Ashraf Ghani, mengecam perbuatan tidak berperikemanusiaan Amerika tersebut.
“Tidak ada sebab kepada jenis-jenis perbuatan seperti ini dan penyeksaan tidak berperikemanusiaan dalam dunia hari ini,’’ kata Ashraf. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pendedahan-kejam-cia-dunia-kecam-amerika-1.35398#sthash.Kz3e3stG.dpuf
No comments:
Post a Comment