Dollah pening hendak bentuk barisan terbaik
MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 15 Disember 2014 1:03 AM
KUALA LUMPUR - Walaupun Dollah Salleh memberi bayangan akan mengekalkan kesebelasan utama yang membenam Vietnam 4-2 di Stadium Nasional My Dinh, Khamis lalu, namun beliau mungkin melakukan rombakan sebagai strategi untuk mengejutkan Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, Rabu ini.
Di atas kertas, Dollah mempunyai dua barisan yang boleh dipertaruhkan bagi menggempur juara Piala AFF tiga kali itu dalam usaha membawa pulang bekalan selesa sebelum membuat perhitungan terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Posisi penjaga gol menjadi pendebatan paling hangat dalam kalangan pemerhati sejak Mohd. Farizal Marlias memperagakan aksi cemerlang ketika mengetepikan Khairul Fahmi Che Mat dalam separuh akhir kedua.
Bagi bersikap adil, Farizal mungkin perlu dikekalkan, namun ada yang berpendapat Khairul Fahmi Che Mat atau Apek lebih konsisten berbanding bakal penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Daripada senarai 22 pemain, hanya dua sahaja nama iaitu Azmi Muslim dan penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid belum merasai pentas Piala AFF 2014, namun peluang mereka belum tertutup.
Persaingan di posisi pertahanan pula terarah kepada siapa yang bakal berganding dengan kapten, Shukor Adan sebagai bek tengah, sama ada Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Mohd. Muslim Ahmad atau Afif Amiruddin yang tahap prestasinya hampir setara.
Setelah mencuba pelbagai kombinasi di peringkat kumpulan serta separuh akhir seperti Fadhli-Afif (Myanmar dan Thailand), Muslim-Shukor(Singapura), Muslim-Fadhli (Vietnam, separuh akhir pertama) dan Shukor-Fadhli (Vietnam, separuh akhir kedua), Dollah pasti pening memikirkan siapa gandingan paling sesuai bersama Shukor.
Namun jawapan terbaik yang dilihat adalah Fadhli Shas.
Walaupun agak senyap dalam padang, Fadhli seorang pemain yang berdisiplin ketika mengawal gerakan pemain lawan. Berbanding Afif dan Muslim, pertahanan JDT ini kurang melakukan kesilapan dalam kebanyakan perlawanan.
Satu lagi persoalan, apakah pemain kesayangan penyokong Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi akan terus diberi peluang oleh Dollah atau kemungkinan beliau kembali kepada formasi lama dengan meletakkan Gary Steven Robbat di bahagian tengah bersama Safiq Rahim.
Melihat secara keseluruhan aksi Badhri atau Piya, dia cukup berkesan selaku arkitek kepada serangan.
Dia mencipta gerakan untuk gol ketiga serta keempat Harimau Malaya dalam pertemuan dengan Vietnam.
Namun, kekurangan yang ada pemain berusia 32 tahun ini adalah tidak mampu membantu pasukan dalam situasi diserang oleh lawan.
Kehadiran semula Safee Sali yang pulih daripada kecederaan pangkal paha memberi persaingan menarik kepada Norshahrul Idlan Talaha yang menamatkan kemarau gol sejak 15 Oktober lalu dengan menjaringkan gol ketika menentang Vietnam di Hanoi.
Jika Dollah melakar strategi menggunakan dua penyerang, Indra Putra Mahyuddin atau Amri Yahyah yang bertindak selaku penyerang sokongan pasti akan dikekalkan.
Pilihan Dollah sama ada meneruskan khidmat Norshahrul atau memberikan kembali tempat kepada Safee.
Satu lagi taktikal yang boleh digunakan Dollah adalah mempertaruhkan penyerang tunggal sama ada Norshahrul atau Safee. Indra dan Amri mengisi bahagian sayap, manakala Gary, Safiq dan Badhri di tengah.
Apa jua perancangan yang Dollah, Shukor sentiasa perlu berada dalam pasukan memandangkan karakter yang ada pada pemain berusia 35 tahun ini cukup penting buat Harimau Malaya.
Selain bertindak selaku pemberi arahan di atas padang, dia pengalaman luas yang dimiliki pemain ini menjadikannya amat disegani oleh rakan-rakan sepasukan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kekal-atau-ubah-1.36509#sthash.XOwYv6rQ.dpuf
No comments:
Post a Comment