ISNIN, 1 DISEMBER 2014 @ 3:42 PM
SINGAPURA: Ketua jurulatih Singapura, Bernd Stange, hari ini menerima tekanan untuk meletak jawatan berikutan kegagalan skuad republik itu layak ke separuh akhir Piala AFF Suzuki.
Pengendali berasal dari Jerman berusia 66 tahun itu menerima kecaman pengkritik dan peminat kerana lebih gemar menggunakan tenaga muda serta corak permainan dengan hantaran pantas.
Dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Singapura tampak seperti mahu layak selepas menyamakan kedudukan 1-1 di Stadium Nasional.
Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Malaysia menjaringkan dua gol pada lewat babak permainan, termasuk satu daripada sepakan penalti untuk menang 3-1.
Rekod buruk Stange termasuk menyudahkan cabaran dalam kedudukan terakhir kelayakan Piala Asia, awal tahun ini.
Singapura kini berada dalam ranking ke-158 dunia.
Stange yang menyuarakan rasa kecewa tersingkir awal bagaimana pun memuji barisan muda yang purata berusia 25 tahun.
Laporan sebuah akhbar tempatan di sini pula menyebut ada seorang pemain yang tidak dinamakan berkata pemain mengadu pasukan itu tidak bersedia dengan baik serta amat marah ketika kejohanan dengan gaya pengurusan Stange.
"Stange bertegas dengan sistem tiki-taka tetapi pemain berpendapat corak itu tak sesuai untuk permainan di Asia Tenggara yang mempunyai pendekatan lebih terus dalam permainan. Ia didapati lebih berkesan," kata pemain itu seperti dilaporkan oleh akhbar berkenaan.
Stange dilantik Persatuan Bola Sepak Singapura untuk menggantikan Raddy Avramovic dari Serbia yang sebelum ini memimpin Singapura menjuarai Piala Suzuki tiga kali (2004, 2007 dan 2012).
Thailand, Malaysia, Filipina dan Vietnam layak ke separuh akhir kejohanan kali ini. - AFP
KETUA jurulatih Singapura, Bernd Stange. - Foto BERNAMA
No comments:
Post a Comment