17 Disember 2014 1:00 AM
BANGKOK – Tindakan jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang (karikatur) tidak menghadiri sidang akhbar pengurus perlawanan akhir pertama Piala AFF di sini semalam semakin memualkan pihak media.
Ini bukan kali pertama dia bertindak sedemikian sebaliknya sejak di peringkat kumpulan di Singapura lagi, termasuk untuk pertemuan dengan Harimau Malaya dan Singapura.
Tanpa sebarang alasan kukuh diberikan, Thailand yang diwakili oleh penolongnya Choketawi Promrat enggan menyatakan sebab mengapa ketuanya tidak mahu tampil dalam sidang akhbar, seolah-olah mahu bermain psikologi dengan Harimau Malaya.
Malah, Thailand turut membatalkan latihan terakhir di Stadium Rajamangala pada saat-saat akhir.
Choketawi, demi menyelamatkan air muka bosnya, hanya memberi jawapan selamat iaitu bekerja dalam sebuah pasukan, dia hanya mengikut arahan serta menghormati arahan yang diberitahu oleh Kiatisuk.
“Bersama-sama dalam satu pasukan, kami di dalam staf kejurulatihan perlu hormat pendirian satu sama lain (pendirian Kiatisuk tidak hadir ke sidang akhbar),” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Menemani Choketawi ke sidang akhbar berkenaan adalah penjaga gol Kawin Thamsatchanan yang dijangka bertindak selaku ketua pasukan.
Choketawi menganggap kekalahan mereka dalam tiga edisi final sebelum ini tidak memberikan sebarang tekanan dan mahu menjadikan Harimau Malaya sebagai penamat badi Thailand.
“Bagi mana-mana perlawanan akhir, peluang adalah 50-50 untuk kedua-dua pasukan dan apa sahajaboleh terjadi.
“Rekod lalu tidak membuatkan kami rasa gementar dan kami akan beraksi mengikut cara tersendiri untuk memastikan Thailand kembali menjadi juara.
“Kami menghormati Malaysia, namun bermain di hadapan penyokong sendiri, sudah tentu mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh pasukan Thailand dengan menampilkan aksi terbaik,” katanya.
Bagi Kawin, dia mahu menjadikan pentas final kali ini bagi menebus kembali kekalahan pada edisi 2012 di tangan Singapura.
“Bukan satu tugas yang mudah berdepan Singapura, juara tiga kali pada perlawanan akhir yang lalu dan inilah kesempatan terbaik bagi kami menamatkan penantian sejak sekian lama (kali terakhir Thailand menang 2002).
“Semangat semua pemain ternyata begitu berkobar-kobar dan saya nampak kami kali ini amat mahukan trofi AFF,” katanya.
Selepas mengalahkan Indonesia pada perlawanan akhir AFF 2002, Thailand kalah dalam tiga penampilan di final pada 2007, 2008 dan 2012. – UTUSAN
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kiatisuk-bongkak-atau-penakut-1.37291#sthash.GKVC25AI.dpuf
No comments:
Post a Comment