18 Disember 2014 12:47 AM
Pemain Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin bersaing dengan pemain Thailand, Chanathip Songkrasin untuk mendapatkan bola pada Perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia menentang Thailand, di Stadium Nasional Rajamangala, di sini, hari ini.
BANGKOK - Skuad Harimau Malaya menghadapi laluan cukup sukar untuk meraih gelaran kedua dalam Piala AFF apabila melangkah ke perlawanan akhir kedua Piala AFF Sabtu ini selepas tumpas 2-0 di tangan juara tiga kali Thailand di Stadium Rajamangala di sini semalam.
Kekalahan itu mengulangi keputusan sama ketika skuad negara kali terakhir bertandang ke Thailand pada separuh akhir kedua 2012 di Stadium Supachalasai.
Bagaimanapun, masih ada yang positif dipertontonkan oleh Harimau Malaya apabila mereka mengasak sebaik permainan bermula dalam misi mendapatkan jaringan di tempat lawan apabila melancarkan dua percubaan dalam tempoh lima minit pertama.
Percubaan sulung skuad Dollah Salleh membuatkan kira-kira 50,000 penyokong tuan rumah tergamam apabila hantaran tinggi Safiq Rahim ke dalam kotak penalti ditanduk oleh Amri Yahyah namun dapat ditangkap kemas oleh Kawin Thamsatchanan pada minit ketiga.
Belum sempat Thailand mendapatkan rentak, dua minit kemudian Norshahrul Idlan Talaha pula menguji kewibawaan penjaga gol berpengalaman itu yang menampan kemas rembatannya.
Selepas membenarkan pelawat mengasak, skuad Gajah Perang menguji kekentalan benteng Harimau Malaya menerusi pemain sayap kiri Kroekrit Thawikan yang hampir menewaskan Farizal pada minit ketujuh tetapi percubaannya tersasar sedikit ke sebelah kanan.
Percubaan itu menambah semangat tuan rumah, yang perlahan-lahan membina rentak dan menguasai sepenuhnya permainan namun Harimau Malaya sekali-sekala mengatur serangan balas yang mencemaskan kubu Thailand.
Namun, tiga minit sebelum rehat, Mohd. Farizal Marlias bertindak cemerlang untuk menyelamatkan percubaan penyerang Adisak Kraisorn yang mengambil kesempatan atas kesilapan Mohd. Fadhli Shas yang tertanduk bola ke belakang.
Walaupun pada awalnya mengasak dan berjaya menyerap segala asakan Thailand, gawang Harimau Malaya akhirnya bocor ketika permainan semakin hampir ke penghujung.
Gol pertama tuan rumah diperoleh pada minit ke-72 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Charyl Chappuis selepas kekasaran dilakukan oleh Mohd. Fadhli.
Thailand kemudian memperoleh gol kedua apabila serangan balas yang digerakkan oleh ‘Iniesta Thailand’, Chanathip Songkrasin disempurnakan penuh bergaya oleh Kroekrit pada minit ke-86.
Indra Putra Mahayuddin hampir menghadiahkan gol buat Harimau Malaya pada penghujung perlawanan namun tandukannya diselamatkan oleh Kawin.
Dollah berkata, skuadnya bermain dalam keadaan tertekan dan kesilapan bahagian pertahanan membolehkan Thailand menjaringkan kedua-dua gol.
“Kita main dalam keadaan tertekan. Thailand telah bermain seperti dijangka, mereka bermain di tempat sendiri.
“Bahagian pertahanan kita ketara goyang yang menyebabkan Thailand dapat menjaringkan kedua-dua gol,” katanya.
Bagaimanapun, dia yakin mereka mampu bangkit dalam perlawanan akhir kedua di Bukit Jalil Sabtu ini.
“Dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku. Di Kuala Lumpur nanti saya percaya pemain-pemain akan menunjukkan lebih daripada apa yang mereka lakukan malam ini,” tegasnya. – UTUSAN
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/cakar-harimau-8232-belum-cukup-tajam-1.37694#sthash.8VD8dHSC.dpuf
No comments:
Post a Comment