MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 19 Disember 2014 1:17 AM
SEMANGAT pemain Harimau Malaya belum padam, sebaliknya mereka bertekad untuk mencari kemenangan dalam final kedua Pial a AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.
BANGKOK - “Jika Thailand boleh melakukannya di tempat sendiri, mengapa tidak kami apabila di Bukit Jalil nanti.”
Itu kata-kata penuh bersemangat Safee Sali yang masih yakin keajaiban bakal berlaku dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF esok.
Penyerang Harimau Malaya itu, yang dimasukkan pada pertengahan babak kedua untuk menggantikan Mohd.Amri Yahyah, menegaskan kekuatan Thailand dan skuad negara tidak banyak beza.
Justeru itu, katanya, jika Harimau Malaya dapat menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri dengan sebaik-baiknya, tidak mustahil Piala AFF akan dijulang di depan puluhan ribu penyokong negara.
“Sebenarnya kita bermain dengan baik menentang Thailand, terutama pada separuh masa pertama apabila kita mencipta banyak peluang.
“Namun, di penghujung babak kedua Thailand tampak semakin agresif dan sepakan penalti mengubah rentak perlawanan.
“Kita masih ada 90 minit dan saya tidak nampak mengapa kami tidak boleh bangkit,” katanya semalam.
Selepas jaringan penalti yang disempurnakan oleh Charyl Chappuis pada minit ke-72, Dollah Salleh mengambil risiko memasukkan Safee dan Baddrol Bakhtiar bagi memantapkan jentera serangan.
Langkah itu sebaliknya membuka ruang kepada Thailand yang berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-86 menerusi serangan balas menarik yang diatur Chanathip Songkrasin sebelum disudahkan Kroekrit Thawikan.
Bagi Safee, kekuatan Thailand banyak bergantung kepada Chanathip yang mengawal bahagian tengah dengan baik.
“Kita boleh nampak pemain nombor 18 (Chanathip) yang banyak menjadi perancang kepada segala gerakan Thailand.
“Mungkin jurulatih boleh merencana sesuatu supaya dia tidak dapat terlalu banyak ruang pada perlawanan kedua nanti,” katanya. – UTUSAN
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safee-yakin-8232-harimau-8232-masih-boleh-1.38199#sthash.uoXtJSSO.dpuf
No comments:
Post a Comment