15 Disember 2014 1:03 AM
Safee SALI (kiri) dan Norshahrul Idlan Talaha perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama apabila menentang Thailand pada perlawanan akhir pertama Piala AFF di Bangkok, Rabu ini.
SEPANG – Aksi bertenaga dan corak permainan pantas yang ditampilkan Thailand tidak menggentarkan Safee Sali, yang berpandangan Harimau Malaya mampu memberi keseimbangan kepada skuad kendalian Kiatisuk Senamuang melalui pengalaman yang ada pada kebanyakan pemain.
Menurut penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu lagi, format final yang berlangsung secara timbal balik juga memberi kelebihan kepada Malaysia, apatah lagi aksi kedua akan diadakan di Kuala Lumpur.
“Jika diperhatikan, Thailand memang sebuah pasukan muda dan cukup ampuh di bahagian tengah kerana dibarisi ramai bakat besar. Tidak dinafikan memang mereka memiliki skuad yang bagus.
“Cuma saya nampak mereka ada sedikit kekurangan daripada segi pengalaman.
“Di situlah kelebihan kita. Kita kena ambil kesempatan, tambahan perlawanan akhir berlangsung sebanyak dua kali.
“Saya yakin kita ada kelebihan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), semalam.
Tempat Safee dalam kesebelasan utama dilihat sedikit terancam selepas Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi penggantinya di saat akhir berjaya melaksanakan tugas dengan baik apabila menjaringkan gol kedua Harimau Malaya ketika membenam Vietnam 4-2 dalam separuh akhir kedua di Hanoi, Khamis lalu.
Selepas tewas 1-2 dalam separuh akhir pertama, Malaysia berjaya melangkah ke final menerusi agregat 5-4.
Safee tidak diturunkan dalam aksi di Hanoi kerana kecederaan pangkal paha, namun dia bersedia untuk beraksi jika jurulatih, Dollah Salleh meletakkannya dalam kesebelasan utama menentang Thailand.
“Selepas pulang dari Vietnam, saya rasa makin baik. Sebenarnya kecederaan saya tidaklah begitu serius dan memandangkan perlawanan ada dua ke tiga hari lagi, saya sempat pulih.
“Rasa terkilan juga tidak dapat membantu pasukan negara tempoh hari, namun syukur rakan-rakan berjaya melaksanakan tugasan dengan cemerlang,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pengalaman-milik-harimau-malaya-1.36513#sthash.zn9jhQtf.dpuf
No comments:
Post a Comment