23 Disember 2014 1:43 AM
ABU UBAIDAH ZAHIRHUSAN (belakang, kiri) dan Nur Farah Idayu Mohd. Asree (depan, kiri) bersama sebahagian pelajar SMK Sanzac yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan PT3 di SMK Sanzac, Kota Kinabalu, Sabah, semalam. – utusan/Azrul Edham Mohd. Aminuddin
KOTA KINABALU 22 Dis. – Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) memerlukan setiap pelajar memiliki kemahiran berfikir pada tahap tinggi.
Perkara itu diakui pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac dekat sini, Abu Ubaidah Zahirhusan, 15, yang memperoleh 8A 2B dalam keputusan yang diumumkan di sekolah itu pagi ini.
Menurutnya, pembelajaran di dalam kelas tidak lagi boleh dijadikan sandaran semata-mata, sebaliknya perlu disokong daripada sumber lain termasuk internet.
“Saya akui PT3 cukup berbeza dan memerlukan kemahiran berfikir. PT3 menguji kita berfikir dan bukan lagi berteraskan kepada sekadar menjawab soalan,” katanya ketika ditemui di sini.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, fokus di dalam kelas juga penting walaupun pelbagai nota tambahan dapat ‘dipetik’ menerusi sumber internet.
Rakannya, Nur Farah Idayu Mohd. Asree, 15, turut mengakui ‘kelainan’ perjalanan PT3 yang amat menguji keupayaan minda seseorang pelajar.
“Kita perlu berfikir di luar kotak. Oleh itu, peranan guru penting dalam ‘memandu’ pelajar untuk berdepan cabaran PT3.
“Saya selalu menjadikan guru sebagai kawan, mana yang tidak faham, rujukan guru amat penting. Mereka banyak membantu kejayaan ini,” jelasnya.
Walaupun cuma memperoleh keputusan 6A, 2B, 1C dan 1D, Nur Farah Idayu melahirkan rasa gembira dan bangga kerana dapat berdepan dengan cabaran pertama kali itu dan berazam untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran seterusnya.
“Sudah tentu ini bukan penamat, meskipun menjadi perintis kepada PT3,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pt3-tuntut-kemahiran-berfikir-1.39949#sthash.CERw5XN7.dpuf
No comments:
Post a Comment