Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 30 December 2014

Kuala Krai bagaikan dilanda tsunami kecil

AZRAN FITRI RAHIM | 30 Disember 2014 1:36 AM


KUALA KRAI 29 Dis. - Bagaikan tsunami kecil, itu gambaran mengenai daerah ini selepas dilanda banjir besar bermula Selasa lalu.

Kesan bencana alam itu dapat dilihat di merata-rata tempat di seluruh daerah ini dan tidak keterla­luan jika dikatakan hanya 15 peratus penempatan penduduk di sini yang tidak terjejas.

Keadaan di seluruh bandar ini terutama di Manek Urai amat me­nyayat hati dan rata-rata penduduk berada dalam keadaan trauma selepas pulang ke rumah masing-masing bermula pagi ini.

Hari ini, laluan darat ke daerah ini dari Kota Bharu te­lah dibuka termasuk kepada kenderaan kecil dan menyebabkan kesesakan yang teruk malah penduduk juga mengambil kesempatan untuk keluar mendapatkan bekalan terutama petrol serta diesel.

Tinjauan Utusan Malaysia bermula di kawasan Guchil. Hampir keseluruhan rumah di kawasan ini rosak dan ada antaranya hancur kecuali yang terletak di kawasan tinggi.

Malah di Guchil 4, terdapat sebuah rumah yang hanyutkan arus dan tersangkut di atas sebuah rumah lain.

Pemilik rumah tersebut, Rahim Ismail, 58, berkata, dia ha­nya menyedari keadaan rumahnya itu selepas air surut pada petang semalam.


“Rumah saya terletak kira-kira 10 meter di belakang rumah anak saya tetapi apabila pulang saya mendapati rumah saya berada di atas rumah anak.

“Tidak pernah terfikir rumah saya dihanyutkan begitu rupa, berdasarkan kesan saya mendapati air naik sekurang-kurangnya melebihi 10 meter dengan arus yang kuat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dia yang bekerja sebagai buruh berkata, mereka sekeluarga tidak akan berpindah kerana di situ adalah tempat tinggal mereka sejak 14 tahun lalu.


Sementara itu, Che Hasan Che Abdullah, 57, berkata, air datang seperti ombak besar yang mera­napkan sebahagian rumahnya dan empat buah rumah lagi di Jalan Halimah, Guchil 1.

Katanya, dia menyedari air besar datang dengan laju dari arah Su­ngai Kelantan yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan perumahan itu pada pukul 5.30 pagi Selasa lalu.

“Saya nampak air besar dan tinggi datang, saya kejutkan jiran untuk menyelamatkan diri, selepas lima minit air itu membadai sebahagian rumah saya dan empat buah rumah lain musnah.

“Air yang membawa batu dari rel kereta api itu turut menyebabkan jalan di hadapan rumah saya terputus. Selepas air naik ia terus bertahan sehingga mula surut semalam,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di sepanjang jalan dari bandar ini menuju ke Manek Urai mendapati kesan kemusnahan amat dahsyat dan penduduk yang pulang ke rumah mengambil kesempatan untuk membersihkan ke kediaman mereka serta mencari harta benda yang masih boleh digunakan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/kuala-krai-bagaikan-dilanda-tsunami-kecil-1.42550#sthash.0RAz6Ryw.dpuf


No comments: