Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 15 December 2014

SPRM digesa siasat

Penemuan senarai penguat kuasa terima habuan sindiket judi

ZULKIFLEE BAKAR | 15 Disember 2014 1:53 AM


Keratan Mingguan Malaysia semalam.

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat senarai nama pegawai dan anggota penguat kuasa yang didakwa menerima habuan daripada satu sindiket perjudian haram seperti yang terdedah dalam satu serbuan baru-baru ini.

Sumber berkata, siasatan rapi dan tindakan tegas perlu diambil ke atas pegawai dan anggota terlibat kerana mereka bersekongkol dengan sindiket itu yang berselindung di sebalik perniagaan ayam dan udang.

Menurut sumber itu, perbuatan mereka yang terdedah berikutan penemuan senarai nama dalam serbuan ke atas beberapa buah syarikat milik seorang ahli perniagaan di sebuah negeri itu perlu dipandang serius kerana melibatkan kerugian besar kepada kerajaan dari segi kutipan cukai.

“Selain itu, ini menyentuh soal kredibiti dan integriti agensi tersebut, apatah lagi senarai berkenaan turut mengandungi nama pegawai kanan sehingga anggota biasa di peringkat kawasan.

“Berdasarkan senarai itu, jumlah pegawai dan anggota agensi penguat kuasa yang didakwa menerima habuan mencecah 100 orang dan melibatkan pemberian rasuah antara RM50 hingga RM5,000 sebulan malah ada juga pegawai yang menerima lebih RM8,000,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusifnya hari ini mendedahkan bagaimana sebuah sindiket perjudian haram menjalankan kegiatan itu dengan berselindung di sebalik perniagaan ayam dan udang.

Mengulas lanjut berhubung senarai yang ditemukan itu, sumber tersebut berkata, sindiket dipercayai memperuntukkan lebih RM100,000 sebulan untuk merasuah pegawai dan agensi penguat kuasa berkenaan.

Sumber itu berkata, tindakan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa tersebut boleh dianggap ‘satu pengkhianatan’ kerana menyebabkan kerajaan mengalami kerugian berjuta-juta ringgit dari segi kutipan cukai.

“Sikap tidak bertanggungjawab mereka menyebabkan sindiket judi haram itu bermaharajalela bertahun-tahun dan mengaut berpuluh-puluh juta ringgit tanpa perlu membayar sesen pun kepada kerajaan.

“Sebaliknya mereka merasuah pegawai dan anggota agensi penguat kuasa bagi memastikan aktiviti haram mereka tidak diganggu,” katanya.

Sumber itu menambah, berdasarkan serbuan itu didapati ahli perniagaan berkenaan sudah berada ‘di penghujung’ dalam menjalankan aktviti tersebut.

“Maksudnya, dia sudah mahu ‘pencen’ atau menyerahkan kepada orang lain. Ini memandangkan sindiket itu sudah mengaut keuntungan berpuluh-puluh juta ringgit dan wang itu ‘diputihkan’ dengan menggunakan hasil tersebut sebagai pelaburan dalam perniagaan pembangunan hartanah,” tambah sumber itu.

Sumber itu berkata, buat masa ini terlalu sukar untuk menerima alasan bahawa agensi tersebut tidak mengetahui kegiatan haram tersebut kerana sudah beroperasi bertahun-tahun lamanya.

“Apatah lagi berdasarkan senarai itu jelas menunjukkan pegawai dan anggota agensi berkenaan mengamalkan sikap tutup mata,” katanya.

Selain itu, kata sumber tersebut, pegawai dan anggota agensi penguat kuasa tersebut dipermainkan oleh sindiket apabila jumlah habuan yang diterima oleh mereka terlalu kecil.

“Ini memandangkan jumlah keuntungan yang dikaut oleh sindiket jauh lebih lumayan dan akibat sikap tidak amanah mereka menyebabkan kerajaan mengalami kerugian berjuta-juta ringgit,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sprm-digesa-siasat-1.36603#sthash.cLNgJ4tm.dpuf



No comments: