Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 22 December 2014

Buka semula pusat pemindahan

Mangsa banjir di Kelantan dan Pahang bertambah

MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB, ROSALINDA MD. SAID 
DAN SHAHRINNAHAR A. LATIB | 22 Disember 2014 1:51 AM


DUNGUN 21 DIS. - Mangsa banjir, Mat Ali Ibrahim bersama anaknya mengharungi banjir mengunakan sampan di Kampung Pinang Baru, Dungun disini hari ini . Gambar UTUSAN/Shaifudin Mohd Nor

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Mangsa banjir yang dipindahkan di Kelantan terus bertambah berbanding semalam biarpun cuaca mendung tanpa hujan dan air di kebanyakan kawasan semakin surut.

Namun keadaan di Terengganu semakin pulih manakala Pahang pula menyaksikan hujan yang berterusan hari ini menyebabkan sebuah pusat pemindahan terpaksa dibuka semula.

Di KELANTAN, portal rasmi e-banjir negeri itu memaklumkan, sehingga pukul 6 petang ini, sebanyak 19,685 mangsa daripada 6,531 keluarga telah dipindahkan ke 68 pusat pemindahan di tujuh buah daerah.

Daerah Pasir Mas khususnya Rantau Panjang terus mencatatkan jumlah terbesar mangsa iaitu 11,408 orang melibatkan 3,985 keluarga di 39 pusat pemindahan.

Di Tumpat pula, jumlah mangsa juga bertambah kepada 5,328 orang daripada 1,678 keluarga di lapan pusat pemindahan berbanding 3,807 mangsa pada petang semalam.

Pertambahan jumlah mangsa banjir di dua daerah itu berikutan limpahan air Sungai Golok di Rantau Panjang yang kini mencatat bacaan 10.36 meter melepasi paras bahaya sembilan meter.

Banjir kini semakin pulih di Kota Bharu apabila hanya tinggal 40 mangsa berbanding 500 orang semalam sementara Kuala Krai (1,898), Pasir Puteh (619), Tanah Merah (286) dan Machang (75).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus menurun kepada 4,287 orang dan mereka masih ditempatkan di 44 pusat pemindahan di seluruh negeri ini sehingga awal malam ini.

Menurut portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Dungun mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu kira-kira 2,000 orang daripada lebih 500 keluarga ditempatkan di 16 pusat pemindahan.

Ini diikuti Kemaman, seramai 904 orang daripada 223 keluarga manakala jumlah mangsa di Besut turun mendadak kepada 502 orang daripada 120 keluarga ditempatkan di 13 pusat pemindahan berbanding 2,964 orang petang semalam.

Di Kuala Terengganu pula, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 511 orang melibatkan 125 keluarga, diikuti Hulu Terengganu 221 orang daripada 64 keluarga manakala Marang sebanyak 36 orang daripada 12 keluarga di samping tujuh keluarga di Setiu.

Ketika ramai mangsa beransur pulang, Bahagian Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliranawal malam ini mengeluarkan amaran mengenai paras Sungai Kemaman dan Dungun yang kembali naik secara berterusan.

Beberapa kawasan berisiko dijangka kembali dilanda banjir semula apabila berlaku pertembungan air laut pasang mulai esok hingga 27 Disember ini jika hujan berterusan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu pula memberitahu, sebanyak 15 batang jalan negeri di sekitar Kemaman, Dungun, Setiu, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu masih ditutup.

Di PAHANG pula, meskipun bilik gerakan banjir telah ditutup tengah malam tadi namun hujan berterusan hari ini menyebabkan 14 orang daripada empat keluarga di Kampung Chendor, Cherating dekat Kuantan terpaksa berpindah akibat banjir.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berkata, mereka kini ditempatkan di balai raya Kampung Chendor.

Menurutnya, setakat ini, penduduk di sekitar Kuantan dan daerah lain di Pahang tidak terjejas.

Kata beliau, hujan lebat yang membawa taburan hujan lebih 60 milimeter dicatatkan di kebanyakan stesen pemantau manakala paras air sungai-sungai utama di Kuantan adalah normal.

“Hujan peringkat kuning juga ditingkatkan kepada amaran hujan lebat peringkat jingga untuk Kuantan yang dijangka berlaku sehingga 23 Disember ini,” kata jurucakap itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/buka-semula-pusat-pemindahan-1.39567#sthash.LvrSBlt7.dpuf

No comments: