KHAMIS, 11 DISEMBER 2014 @ 10:03 PM
PEMAIN Malaysia, Shukor Adan dikerumuni rakan sepasukan meraikan gol keempat jaringannya ketika perlawanan separuh akhir kedua antara Vietnam menentang Malaysia di Stadium My Dinh di Hanoi, malam ini. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Malaysia membuat Vietnam gigit jari apabila mencetus ceria peminat tanah air dengan melakar kemenangan - sekali gus gah layak ke final bola sepak Piala AFF Suzuki di Stadium My Dinh di Hanoi, malam ini.
Anak didik Dollah Salleh yang tidak diberi peluang sebelum perlawanan separuh akhir kedua ini membuat kejutan untuk menang 4-2 dan layak ke perlawanan akhir dengan agregat 5-4.
Dalam penentuan mahkota kejuaraan edisi kali ini Malaysia akan menentang Thailand pada 17 dan 20 Disember ini dalam format timbal balik.
Ini adalah final ketiga untuk skuad Harimau Malaya dalam kejohanan Piala AFF selepas layak pada 1996 dan 2010 (juara).
Dalam perlawanan, hari ini, gol Harimau Malaya adalah sumbangan Safiq Rahim pada minit ke-4, Norsharul Idlan Talaha (m-16), jaringan sendiri oleh Dinh Tien Thanh (m-29) dan Shukor Adan (m-43).
Vietnam merapatkan jurang dengan dua gol sumbangan kapten, Le Cong Vinh pada minit ke-22 dan 79.
Thailand layak ke final selepas menewaskan Filipina dengan agregat 3-0 dalam satu lagi saingan peringkat sama di Bangkok, semalam.
Vietnam yang menang 2-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam pada 7 Disember lalu mengasak kubu lawan sebaik pengadil dari Jepun, Toma Masaaki meniupkan wisel berbekal sorakan puluhan ribu penyokong.
Namun, nasib menyebelahi Malaysia yang membuka tirai jaringan seawal minit keempat selepas Safiq merembat masuk kemas sepakan penalti.
Masaaki menghadiahkan penalti kepada tuan rumah selepas pemain tengah negara, Indra Putra Mahayuddin dikasari pertahanan Vietnam, Que Ngoc Hai.
Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha menamatkan kemarau jaringan pada kejohanan kali ini dengan meledak gol kedua pada minit ke-16 hasil kesilapan benteng tuan rumah.
Tersentak, Vietnam mengasak dan berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Cong Vinh pada minit ke-22 tapi selang enam minit kemudian Dinh Tien Thanh tertampan bola ke dalam gol sendiri ketika menghalang percubaan Indra Putra.
Seminit sebelum tamat babak pertama, Shukor Adan menambah derita tuan rumah dengan gol keempat selepas menyudahkan tandukan depan gawang lawan.
Selepas rehat, Vietnam mengubah rentak perlawanan dengan menggandakan asakan dan usaha mereka berhasil apabila bagi Cong Vinh menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-78.
Namun, segala usaha berikut tuan rumah untuk menembusi gawang Harimau Malaya mencapai jalan buntu. Anak didik Dollah berjaya mengawal benteng dengan baik untuk layak ke final.
SKUAD PEMAIN
MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias, Zubir Mohd Azmi, Fadhli Mohd Shas, Shukor Adan (kapten), Indra Putra Mahayuddin (Mohamad Muslim Ahmad), Safiq Rahim, S Kunalan, Mohd Badhri Mohd Radzi (Baddrol Bakhtiar), Azamuddin Mohd Akil, Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha
VIETNAM: Tran Nguyen Manh, Le Phuoc Tu, Dinh Tien Thanh, Nguyen Van Bien, Ngo Hoang Thinh (Le Tan Tai), Le Cong Vinh (kapten), Nguyen Van Quyet, Que Ngoc Hai, Pham Thanh Luong, Vo Huy Toan (Mac Hong Quan), Nguyen Huy Hung
PENGADILl: Toma Masaaki (Jepun)
No comments:
Post a Comment