Tawaran diterima daripada pihak ketiga melalui panggilan telefon
AMIRUDDIN HARUN | 16 Disember 2014 1:43 AM
RONALD KIANDEE
KUALA LUMPUR 15 Dis. - Bekas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau percaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang yang ‘megalomaniac’ (gila kuasa).
“Secara peribadi saya percaya beliau (Anwar) seorang yang ‘megalomaniac.’ Saya percaya, plaintif(Anwar) hanya mengambil berat terhadap agenda peribadinya iaitu untuk mengambil alih Putrajaya ‘dengan apa cara sekalipun’ sebagaimana memetik kata-katanya sendiri dan menganggap dirinya sebagai bakal Perdana Menteri,” kata beliau.
Zahrain, 59, yang merupakan bekas Ketua PKR negeri Pulau Pinang dan kini memegang jawatan Duta Malaysia di Indonesia berkata, beliau secara peribadi berpendapat Anwar bukan seorang yang boleh dipercayai selepas berpeluang bekerja dengannya dalam parti tersebut.
Jelasnya, beliau percaya kata-kata ‘dengan apa cara sekalipun’ bermaksud bahawa Anwar akan menggunakan apa jua untuk memastikan bahawa parti gabungan PKR akan membentuk kerajaan Persekutuan melalui tindakannya untuk mendapatkan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti.
Zahrain berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes saman RM100 juta Anwar terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman atas kapasiti peribadinya kerana mendakwa Anifah memfitnahnya ketika sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Hillary Clinton semasa lawatan kerja ke negara tersebut pada 2009.
Dalam saman tersebut, Ketua Pembangkang itu selaku plaintif mendakwa, Anifah yang dinamakan sebagai defendan dalam sidang akhbar itu menyatakan beliau pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya sebagai ‘umpan’ melompat parti selepas Pilihan Raya Umum 2008.
Dalam keterangannya, Zahrain selaku saksi defendan keenam berkata, sekitar 2008, beliau sedar bahawa plaintif telah berjanji untuk memberi ganjaran kewangan kepada beberapa ahli Parlimen BN untuk lompat parti dan sebahagiannya turut ditawarkan jawatan-jawatan tertentu sekiranya parti plaintif berjaya membentuk kerajaan.
Menjawab soalan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Anifah, Zahrain berkata, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ada memberitahunya bahawa beliau telah ditawarkan wang serta jawatan oleh PKR untuk menyertai parti pembangkang.
Menurutnya, perkara berhubung penubuhan kerajaan 16 September 2008 itu telah ditimbulkan oleh beliau semasa sidang Dewan Rakyat pada 18 Mac 2010 dan menekankan bahawa ahli-ahli Parlimen tidak sepatutnya terpengaruh dengan plaintif.
“Saya yakin bahawa ini adalah salah satu percubaan plaintif dalam usahanya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia,” kata beliau sambil menambah plaintif hanya berminat untuk memenuhi agenda peribadinya sendiri dan tindakan plaintif tidak ada kena mengena dengan kepentingan negara dan rakyat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee selaku saksi defendan kelima memberitahu, beliau ditawarkan RM5 juta untuk lompat parti dengan menyertai PKR dan tawaran itu diterima daripada pihak ketiga melalui panggilan telefon.
“Pemanggil tersebut berkata dia daripada PKR. Saya tidak ingat namanya tetapi suara dia bercakap seperti orang Sabah.
“Saya kemudian memaklumkan kepada polis Cawangan Khas (SB) berhubung panggilan telefon tersebut dan menyerahkan nombor telefon pemanggil yang tertera di dalam log telefon saya,” kata beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Menurut Ronald, 53, beliau tidak mengingati secara tepat tarikh panggilan itu tetapi sebelum 16 September 2008.
“Saya tidak menghiraukan sangat panggilan itu kerana saya tahu bahawa saya tidak akan lompat parti, walau apa pun yang ditawarkan. Ia tidak terfikirkan. Saya tidak membuat susulan terhadap panggilan berkenaan selepas itu,” ujarnya dalam kenyataan saksinya.
Terdahulu, Ronald memberitahu, Anifah memang ada berbual (melalui telefon) dengan seseorang bernama Tony Vun kerana beliau ketika itu antara ahli kumpulan bersama menteri tersebut yang akan ke luar negara.
“Saya tidak mengenali dia (Tony) tetapi defendan (Anifah) memberitahu kami bahawa Tony Vun menghubunginya bagi pihak plaintif. Plaintif kemudian bercakap dengan defendan dan menawarkan beliau jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya defendan menyertai Pakatan Rakyat,” katanya.
Menjawab soalan lain, Ronald mengakui pernah satu ketika iaitu sewaktu berada di lounge Hotel Hilton Kuala Lumpur bersama-sama Anifah; Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi dan seorang lagi, ada seorang lelaki tinggi yang memakai topi besbol menghampiri mereka dan bercakap dengan Anifah.
“Saya tidak mendengar perbualan mereka, ia lebih dari lima minit. Selepas lelaki itu meninggalkan
mereka, defendan memberitahu kami bahawa beliau menawarkan RM100 juta oleh lelaki tersebut untuk menyertai Pakatan dan membawa bersama beberapa ahli Parlimen,” kata beliau.
Menjawab soalan balas peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar, Ronald berkata, beliau tidak membuat laporan polis berhubung tawaran RM100 juta yang disifatkan oleh peguam itu sebagai sogokan, kerana Anifah yang sepatutnya membuat laporan polis.
Yang turut menjadi saksi hari ini bekas Ketua Menteri Sabah yang juga pemimpin Parti Maju Sabah SAPP), Datuk Seri Dr. Yong Teck Lee.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid bersambung esok.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/ronald-kiandee-ditawar-rm5j-lompat-parti-1.37042#sthash.yRim6jif.dpuf
No comments:
Post a Comment