Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 23 December 2014

PENDIDIKAN : Jangan salahkan PT3

23 Disember 2014 1:46 AM

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berharap pihak sekolah tidak menyalahkan perubahan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sekiranya keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan hari ini tidak seperti yang dijangkakan.

Mohamad Ali Hassan

Presidennya, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, percubaan pertama oleh kementerian itu perlu dipandang secara positif dan dapat menerima apa sahaja keputusan PT3 yang diperoleh dengan hati yang terbuka.

Katanya, keputusan tersebut seharusnya tidak membebankan pelajar dan guru malah, perlu dijadikan iktibar serta mengambil tindakan bersama bagi menangani kemerosotan akademik para pelajar.

“Kementerian juga perlu mengkaji semula bagi memastikan PT3 ini berjaya dilaksanakan seiring dengan tujuan asalnya iaitu untuk mencungkil bakat-bakat yang terpendam dalam kalangan pelajar di samping mendapat bimbingan daripada pihak sekolah.

“Penilaian baharu untuk tingkatan tiga tersebut dilihat dapat mengenal pasti dan memberi peluang kepada pelajar yang tercorot dalam akademik tetapi mempunyai kebolehan dalam bidang vokasional untuk mencapai kejayaannya yang tersendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan penambahbaikan PBS iaitu memperkenalkan ujian PT3 mulai tahun ini.

Menerusi pelaksanaan tersebut, tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar tingkatan 3 dan PT3 akan dilaksanakan di peringkat sekolah.

Tambah Mohamad Ali, dunia zaman sekarang yang semakin meningkat maju bukan sahaja tertumpu kepada ahli akademik semata-mata tetapi juga memerlukan kemahiran dalam bidang teknikal.

Apabila ditanya mengenai ketelusan dalam memeriksa kertas peperiksaan memandangkan ia hanya melibatkan khidmat guru dari sekolah tersebut, Mohamad Ali berkata, semua guru yang terlibat dengan PT3 perlu bersikap profesional dan menjaga etika sebagai seorang pendidik.

“Saya tidak menafikan bahawa perkara tersebut boleh mendorong guru-guru untuk memberi markah yang tinggi kepada pelajarnya bagi menjaga serta meningkatkan prestasi sekolah.

“Oleh sebab itu, tenaga pengajar yang terlibat dalam penilaian PT3 ini perlu diberi latihan dan kursus bagi memastikan sikap pilih kasih tidak timbul ketika menjalankan tugas,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jangan-salahkan-pt3-1.39976#sthash.0bt3LTtF.dpuf


PT3 tidak boleh dibanding dengan PMR

23 Disember 2014 1:46 AM

PUTRAJAYA 22 Dis. – Keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2014 yang dikeluarkan hari ini tidak boleh dibandingkan dengan pencapaian pelajar dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diadakan sebelum ini berikutan menggunakan format dan pendekatan berbeza.

Ketua Sektor Pengurusan Dasar dan Perkembangan Lembaga Peperiksaan (LP), Norzila Mohd. Yusof berkata, data yang dikeluarkan dalam PT3 merupakan maklumat baharu dan tidak boleh dibandingkan dengan peperiksaan lain.

Pada masa sama, katanya, keputusan yang dikeluarkan itu juga tidak boleh dirumuskan mengalami sebarang peningkatan atau penurunan kerana berbeza dengan peperiksaan terdahulu.

“Pentaksiran ini digubal untuk melihat tahap penguasaan anak-anak kita selepas belajar selama tiga tahun di peringkat menengah rendah, yang mana untuk PT3 pendekatan penetapan standard untuk penentuan skor mengikut penggredan A, B, C, D dan seterusnya jika mereka layak gred A kita bagi keputusan itu.

“Berbeza dengan PMR kita guna kaedah penentuan standard yang mana penentuan penggredan mengikut beberapa perkara antaranya mengikut trend tiga tahun lepas, statistik dan norma tetapi untuk PT3 bergantung sepenuhnya kepada pelajar itu sendiri dan tidak dilihat pada trend sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Norzila, pendekatan seperti itu bagus kerana sejajar dengan objektif mata pelajaran yang memerlukan setiap pelajar menguasai peringkat menengah rendah.

Mengulas lanjut beliau berkata, untuk keputusan PT3 pihaknya juga tidak membuat sebarang analisis atau pengumuman sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pentadbiran sekolah untuk melakukannya.

Katanya, perkara itu bertujuan memberi peluang kepada pihak sekolah membuat analisis dan penambahbaikan serta melihat kekuatan dan kelemahan pelajar masing-masing.

“Untuk PT3 apabila LP sudah menetapkan skor gred kami akan menghantar ke dalam sistem sekolah untuk mereka mencetak laporan itu serta membuat analisis bagi sekolah masing-masing. Di peringkat pusat kita tidak membuat sebarang analisis untuk PT3,” katanya.

Mengulas dakwaan pentaksiran tersebut sukar kerana menggunakan item Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Norzila menolak tanggapan tersebut sebaliknya berkata, item tersebut bertujuan menguji tahap pemikiran pelajar supaya berfikir secara kreatif dan kritis.

“Tujuan item KBAT dimasukkan dalam PT3 adalah untuk menyuruh pelajar ini berfikir bagaimana kaedah menyelesaikan masalah yang timbul berdasarkan pengetahuan diperoleh di sekolah dan sebagainya. Sekiranya perkara itu bukan rutin sudah tentu pelajar merasa susah.

“Sebenarnya perkara ini tidak sesukar mana cuma memerlukan mereka menjana fikiran untuk menjawab tugasan yang diberikan,” katanya.

Katanya, sebanyak 25 peratus soalan merupakan item aras rendah dan tinggi manakala, selebihnya item aras sederhana.

Sementara itu, Norzila berkata, PT3 tidak seharusnya dilihat kepada akademik semata-mata tetapi perlu dirangkumkan bersama komponen lain iaitu pentaksiran sekolah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik bagi melahirkan pelajar yang holistik.- 

See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pt3-tidak-boleh-dibanding-dengan-pmr-1.39984#sthash.dl31yU0A.dpuf

No comments: