Ugutan bunuh dari rakaman video
TERMIZI CHE ANUAR | 26 Februari 2015 1:37 AM
Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan beliau tidak gentar terhadap ugutan bunuh oleh kumpulan Anak Malaysia Anti Demokrasi (AMAD) melalui rakaman video amatur menggunakan laman sosial Youtube.
Khalid juga menyifatkan perbuatan kumpulan itu sebagai tidak bertanggungjawab serta memberikan gambaran buruk terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
Katanya, video tersebut menunjukkan kumpulan itu tidak mengenal erti sebenar sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
“Ugutan sedemikian langsung tidak menakutkan saya sebagai Ketua Polis Negara dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dan ugutan seperti itu merupakan lumrah kehidupan seorang pegawai polis dalam menjalankan tugas.
“Namun, apa yang saya bimbangkan adalah terdapat segelintir masyarakat tidak menggunakan saluran demokrasi sedia ada dan sering melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dalam menuntut perubahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hari ini rakaman video amatur yang bertajuk Peringatan Kepada IGP memaparkan tiga individu berpakaian hitam dengan muka seorang daripada mereka ditutupi logo kumpulan tersebut, manakala dua lagi memakai topeng mengugut membunuh Khalid dengan meletupkan keretanya menjadi viral di laman media sosial.
Video selama 1.27 minit yang dikesan dimuat naik di YouTube itu dilihat serius apabila pada akhir rakaman tersebut, mereka bertindak membakar kereta mainan menggunakan pemetik api sebelum disusuli dengan kesan bunyi letupan kuat.
Khalid berkata, aktiviti dan identiti kumpulan tersebut sedang dikesan oleh polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menggangu gugat keamanan negara.
Dalam pada itu, beliau turut meletakkan keyakinan bahawa masyarakat Malaysia tidak mahu melihat negara ini menjadi huru-hara akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Saya menyeru kepada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang niat jahat sedemikian untuk menghentikannya serta-merta.
“Tindakan itu berupaya memberikan implikasi keselamatan amat serius dan akan merosakkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/saya-tidak-gentar-8211-kpn-1.63796#sthash.cp4Vr7dT.dpuf
No comments:
Post a Comment