26 Februari 2015 1:36 AM
Ibrahim Ali bersalam dengan para pelajar baharu UiTM selepas menyampaikan ucapan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam, semalam. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
SHAH ALAM 25 Feb. – Lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kurang semangat jati diri dan patriotisme ditegur kerana sikap sedemikian boleh membantutkan usaha kerajaan mahu terus membantu melahirkan orang Melayu dan bumiputera berpendidikan tinggi.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, alumni UiTM tidak sepatutnya lupa dengan budi yang ditabur oleh kerajaan sehingga membolehkan mereka berjaya dalam hidup dan mempunyai kerjaya baik.
Menurutnya, golongan tersebut seharusnya membalas jasa itu dengan menyokong atau membantu UiTM apabila diperlukan.
"Sekarang ada kira-kira 500,000 alumni UiTM yang berjaya dalam bidang masing-masing, mempunyai jawatan penting, namun apabila sokongan daripada mereka diperlukan, tidak ramai yang boleh menyumbang balik kepada UiTM.
"Sehubungan itu, setiap pelajar UiTM perlu ada sikap bertanggungjawab, pengorbanan tinggi dan sentiasa bersyukur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berceramah di depan kira-kira 900 pelajar baharu UiTM sempena program Minggu Destini Siswa di sini hari ini.
Dalam ceramahnya itu, Ibrahim yang juga Ahli Lembaga Pengarah UiTM turut menasihatkan pelajar-pelajar tersebut supaya tidak mudah diperalatkan atau dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu.
Jelasnya, setiap daripada mereka mempunyai peranan khusus untuk mengangkat martabat orang Melayu dan bumiputera.
"Tugas kamu sekarang adalah belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan cemerlang. Jangan hampakan harapan ibu bapa.
"Apabila tamat belajar nanti, balas jasa mereka yang membantu dengan menyumbang kepada bangsa dan negara," ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/alumni-uitm-jangan-lupa-diri-8211-ibrahim-ali-1.63781#sthash.Ynr2xZY8.dpuf
No comments:
Post a Comment