ANEKDOT AHAD
KU SEMAN KU HUSSAIN (KUSEMANKH@GMAIL.COM) | 15 Februari 2015 12:09 AM
Amerika Syarikat (AS) telah mencabuli kedaulatan undang-undang negara ini apabila mempersoalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Tindakan ini bukanlah kerana berteraskan hak asasi manusia tetapi lebih kepada mahu menekan Malaysia supaya membebaskan Anwar.
Hubungan Anwar dengan AS bukan rahsia lagi. Kalau buka sejarah lama, kita akan tahu bagaimana rapatnya Anwar dengan bekas Setiausaha Pertahanan AS pada era Presiden Bill Clinton, William Cohen yang juga seorang Zionis daripada Parti Demokrat. Ketika itu Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Difahamkan Cohen mengenali Anwar pada pertengahan 1990-an melalui Projek Dailog Pasifik yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) sebuah badan pemikir yang diterajui Anwar. Ditaja oleh sebuah yayasan Kristian Jerman, Konrad Adenauer Foundation (KAF).
Semua ini serba sedikit fakta untuk menunjukkan hubungan rapat Anwar dengan AS. Ini bertujuan supaya sesetengah pihak tidak "terkejut beruk" apabila Duta AS ke negara ini, Joseph Y. Yun sanggup mempersoalkan keputusan mahkamah terhadap Anwar di atas tuduhan jenayah seksual. Dia bukan mengeluarkan kenyataan peribadi tetapi mewakili pendirian negaranya.
Nampaknya kehadiran Presiden Barack Obama ke negara ini selepas hampir setengah abad Presiden AS tidak datang ke Malaysia tidak berkesan untuk mencairkan hubungan setiakawan Anwar - AS. Walaupun sesetengah pihak begitu teruja dengan kehadiran Obama seolah-olah itu “rahmat dari Tuhan” kepada negara ini, perbuatan memperlekeh undang-undang kita kenalah dibetulkan.
Apabila berlaku perkara ini, diharapkan orang yang begitu teruja dengan Obama tidak menghantuk kepala ke dinding kerana kecewa dipermainkan AS. Ada yang tidak suka tulisan yang mengkritik AS dan ini menjadikan Duta AS di Kuala Lumpur agak “besar kepala” membuatkan dia berani mengkritik undang-undang kita.
AS sepatutnya menghormati sistem demokrasi sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dalam sistem demokrasi Malaysia, Anwar ditolak apabila pakatan pembangkang gagal memenangi pilihan raya umum sebanyak tiga kali iaitu 1999, 2004, 2008 dan 2013. Hendak dikatakan sistem pilihan raya dikawal oleh kerajaan, parti kerajaan sendiri pun kehilangan banyak kerusi dan 2013 adalah sejarah terburuk parti Barisan Nasional (BN).
Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, layanan AS terhadap Anwar melebihi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Salah satu sebabnya Dr. Mahathir lantang mengkritik dasar-dasar AS yang berat sebelah menindas negara-negara Islam di Asia Barat terutama di Palestin dan Iraq. Sebab itulah AS berbaik-baik dengan Anwar yang hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadi Perdana Menteri.
Saya faham AS merupakan rakan dagang Malaysia yang besar. Misalnya nilai eksport Malaysia ke AS mencecah lebih RM80 bilion. Satu jumlah yang besar. Tetapi kita wajar memperlihatkan ketegasan dalam perkara-perkara yang melibatkan maruah dan kedaulatan negara. Tidak boleh bertolak ansur dalam perkara ini.
Walaupun kenyataan Duta AS itu boleh dianggap terpencil tetapi wajar diambil tindakan. Tujuannya membuktikan Malaysia bukan berada di bawah telunjuk AS. Malaysia bukan Iraq atau Libya di mana AS boleh menghasut rakyat negara itu bertindak tidak demokratik menukar pemimpin. Tambahan pula ini bukan kali pertama AS mencampuri hal dalaman negara ini malah sebelum ini mempersoalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan 1948.
Banyak pihak tahu bahawa yang kuat menentang Akta Hasutan 1948 dan ISA ialah pembangkang, dalam kata lain ialah Anwar. Walaupun ISA telah dimansuhkan tetapi hujah hak asasi manusia terus diperalatkan dengan sokongan AS. Malah hukuman ke atas Anwar juga dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi.
Isu Anwar ini berbeza dengan ketegangan hubungan diplomatik antara Indonesia dan Belanda apabila Indonesia menjatuhkan hukuman mati terhadap rakyat Belanda atas kesalahan mengedar dadah. Belanda sedaya upaya mahu menyelamatkan rakyatnya. Sekiranya AS mempersoalkan hukuman ke atas Anwar yang merupakan rakyatnya, kita boleh memahami situasi itu walaupun tidak sepatutnya berlaku.
Malah isu Anwar ini juga berbeza dengan nasib bekas Perdana Menteri Pakistan, Zulfikar Ali Bhutto yang dikenakan hukuman mati oleh Jeneral Zia ul- Haq yang merampas kuasa negara itu pada 1979. Banyak negara merayu kepada Zia supaya tidak melaksanakan hukuman mati itu tetapi semua rayuan itu tidak diendahkan. Yang dilakukan oleh banyak negara ketika itu adalah atas dasar kemanusiaan dan bukan mencabuli kedaulatan undang-undang Pakistan, sekalipun hukuman itu lebih kepada dendam politik. Bagaimanapun campur tangan AS dalam kes Anwar adalah satu penghinaan terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara ini.
Kalau benarlah ketidakadilan dan pencabulan hak asasi yang menjadi asas duta itu membebel, saya fikir AS tidak layak bercakap tentang perkara itu. Saya ada banyak hujah, salah satunya AS menggunakan Patriot Act 2001 kini dikenali sebagai USA PATRIOT (Uniting and Strengthening America by Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism) untuk mencabul hak asasi dan keadilan.
Akta USA PATRIOT membolehkan individu terutama bukan rakyat AS yang disyaki pengganas diseksa di kem tahanan Guantanamo. Sebahagian besarnya teraniaya dan mereka ditahan tanpa bicara serta diseksa bertahun-tahun lamanya. Ini lebih tidak bertamadun. Sebab itu AS tidak layak bercakap soal keadilan dan hak asasi manusia, mereka sendiri mencabulnya.
AS berbohong mahu menegakkan keadilan atau memperjuangkan hak asasi manusia. Itu retorik yang sudah basi. Sebab itulah kita kena menyedarkan mereka tentang hal ini. Berdiam diri dan menelan kebiadaban AS boleh menghakis keyakinan rakyat, walaupun tindakan Duta AS itu tidak boleh mengubah pandangan dunia kepada Malaysia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/bebelan-duta-as-tidak-menjadi-kudis-tetapi-kenalah-bertindak-1.59539#sthash.YBIdiAaZ.dpuf
No comments:
Post a Comment