The Cops terus lakar kejutan
MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB | 22 Februari 2015 12:31 AM
Pemain Kelantan, Wan Zack Haikal (kanan) cuba melepasi asakan pertahanan PDRM, Onorionde Kughegbe dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam. The Red Warriors kalah besar 0-4 di depan penyokong sendiri. – Mingguan/Wahidin Salim
KOTA BHARU - Hanya seminggu selepas mengejutkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuktikan mereka adalah ‘giant killer’ yang perlu diberi perhatian dalam saingan Liga Super musim ini apabila membelasah Kelantan 4-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Kemenangan bergaya itu membolehkan skuad bimbingan Azman Adnan melonjak ke tangga ketiga liga, selain mencalarkan rekod dua kemenangan berturut-turut yang dicatat The Red Warriors sebelum ini.
Biarpun beraksi di depan lautan merah 25,000 penyokong setia The Red Warriors, malah turun selaku pendatang baharu Liga Super, The Cops tidak langsung gementar.
Pasukan pelawat dikejutkan dengan beberapa percubaan tuan rumah yang bermula garang di awal permainan, termasuk menerusi sepakan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria berjaya disekat pertahanan import PDRM, Onorionde Kughegbe di atas garisan gol.
Begitupun, asakan tersebut tidak menjejaskan tumpuan mereka, malah kebimbangan yang pernah disuarakan Kelantan mengenai kelincahan Ashfaq Ali menjadi kenyataan apabila penyerang Maldives itu membuka jaringan The Cops pada waktu kecederaan babak pertama.
Ashfaq yang bijak melepasi perangkap ofsaid berjaya merembat bola ke penjuru kanan pintu gol tuan rumah yang sama sekali gagal diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Bersambung babak kedua, PDRM tidak menunggu lama untuk menambah jaringan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit- 53 apabila Khairul Fahmi menjatuhkan Ashfaq Ali.
Dramane Thaore yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Khairul Fahmi.
Ashfaq Ali terus membuktikan ketajaman penyudahnya dengan meledak gol ketiga pada minit ke-73, sebelum Mohamadou Sumareh melengkap malam penuh gemilang PDRM dengan gol keempat pada minit ke-85.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/polis-8216-tembak-8217-kelantan-1.62016#sthash.DR6iu1YE.dpuf
No comments:
Post a Comment