Benam East Bengal 4-1 tanpa beberapa tonggak
MOHAMAD FAIZAL HASHIM | 25 Februari 2015 1:38 AM
SAFEE SALI meraikan kemenangan JDT bersama Safiq Rahim (tengah) selepas membenam wakil India, East Bengal India 4-1 dalam aksi Piala AFC di Stadium Larkin, Johor Bahru semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU - Biarpun merehatkan beberapa tonggak utama, Johor Darul Ta’zim (JDT) masih mampu mengorak langkah kanan dalam kempen Piala AFC apabila membenam wakil India, East Bengal 4-1 pada perlawanan pertama Kumpulan F di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Semalam.
Ketiadaan tonggak utama seperti Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz dan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias tidak menjejaskan rentak permainan Harimau Selatan yang mempamer aksi meyakinkan sejak awal permainan.
Malah, tuan rumah memperoleh gol pembukaan seawal minit kesembilan menerusi sepakan percuma Mohd. Nazrin Mohd. Nawi yang menewaskan penjaga gawang lawan, Abhijit Mondal.
Walaupun jarang beraksi dalam kebanyakan perlawanan, namun Safee Sali yang diturunkan dalam kesebelasan utama JDT tidak menghampakan jurulatih, Bojan Hodak.
Beraksi sebagai penyerang tunggal, pemain berusia 31 tahun itu turut memperoleh peluang untuk menambah jaringan, namun rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-26 sedikit melewati palang gol.
Walaupun tidak mempunyai banyak peluang menjaringkan gol, pelawat tidak mensia-siakan sepakan percuma yang dihadiahkan pengadil dari Thailand Sivakorn Puudom apabila rembatan rendah Soleye Martins menerjah jaring pada minit ke-35.
Pada minit ke-38, Sivakorn menghadiahkan pula sepakan penalti kepada JDT setelah bola terkena tangan pemain pertahanan, Milan Susak dan ia disempurnakan dengan baik oleh ketua pasukan, Safiq Rahim.
Tidak sampai lima minit perlawanan bersambung, anak-anak buah Hodak terus menambah jaringan menerusi larian pantas Jasazrin Jamaludin dari sayap kiri sebelum membuat lorongan kepada S. Chanturu yang mudah menolak masuk hantaran menerjah gawang pada minit ke-47.
Tujuh minit berselang, Harimau Selatan melebarkan kedudukan pada minit ke-54 apabila Mohd. Nazrin membuat hantaran silang yang disudahkan oleh Safee dengan penuh bergaya menerusi sepakan gunting yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan.
Gol yang dijaringkan Safee membuktikan dia sudah kembali mendapatkan sentuhan terbaik, sekali gus membalas kepercayaan yang diberikan Hodak setelah sekian lama tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.
Safee mempunyai peluang keemasan untuk menggandakan jaringan pada hujung permainan, namun rembatan kencangnya tepat ke arah penjaga gol dan keputusan kekal hingga ke wisel penamat.
JDT akan turun menentang Balestier Khalsa dari Singapura bagi perlawanan kedua di Stadium Jalan Besar pada 10 Mac ini.
Satu lagi wakil negara, Pahang akan berdepan Yadanarbon hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-selatan-tunjuk-belang-1.63194#sthash.QbldLakA.dpuf
No comments:
Post a Comment