Mahasiswa jangan terpengaruh dengan sentimen simpati – Perkasa
OLEH RODELIO JUNJUN TAUCAN (RODELIO.TAUCAN@UTUSAN.COM.MY) | 15 Februari 2015 12:44 AM
Ibrahim Ali (barisan depan, lima dari kanan) bersama pelajar Melayu dan Bumiputera yang menuntut di Cardiff, United Kingdom, kelmarin.
KUALA LUMPUR 14 Feb. Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menasihatkan golongan muda terutama mahasiswa di luar negara agar tidak terpengaruh dengan sentimen simpati yang cuba ditimbulkan kumpulan penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dihukum penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, kumpulan berkenaan sedang berusaha mendapatkan sokongan mahasiswa melalui propaganda menyamakan nasib Anwar dengan tokoh keamanan dunia dari Afrika Selatan, Nelson Mandela dan Aung San Suu Kyi di Myanmar.
“Isu Anwar dan Mandela bagai langit dengan bumi. Ada pihak cuba samakan Anwar dengan Mandela dan Suu Kyi serta tokoh lain yang ditahan kerana berjuang demi rakyat, namun cerita Anwar lain, dia dipenjara kerana kesalahan meliwat.
“Saya menyeru pelajar-pelajar di luar negara supaya tidak terjebak dengan dakyah segelintir kumpulan Anwar kerana pentingnya negara aman iaitu apabila pulang ke tanah air, mendapat pekerjaan dan meneruskan kehidupan,” katanya dalam kenyataan selepas Majlis Penerangan dan Dialog Perkasa Bersama Pelajar Malaysia di Cardiff, United Kingdom, semalam.
Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadap Anwar selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari tujuh tahun lalu.
Sehari selepas itu, penyokong Anwar yang diketuai anaknya, Nurul Nuha melancarkan kempen Berarak Demi Kebebasan di seluruh negara untuk mendesak pembebasan bapanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata, golongan mahasiswa perlu mengelak daripada terjebak dengan kempen seperti itu.
“Kita sudah lihat bagaimana negara lain terjebak dengan rusuhan dan kini ancaman turut ada di Malaysia sehingga umat Melayu berpecah dan ada pihak mencemuh Islam melalui pelbagai cara,” tegasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/kes-anwar-tak-sama-mandela-suu-kyi-1.59572#sthash.nupe1r4K.dpuf
No comments:
Post a Comment