ABDULLAH DAN ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN | 06 Februari 2015 2:21 AM
LIPIS 5 Feb. - Pemborong, pengilang dan pembekal perlu memberi penjelasan berhubung isu harga barangan yang disuarakan pengguna berikutan penurunan harga petrol serta diesel.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu bagi membolehkan kerajaan mengetahui alasan dan punca mengapa mereka tidak menurunkan harga jualan barangan masing-masing sedangkan kos pengangkutan serta minyak menurun dengan ketara.
“Penting untuk dikaji dan diteliti apakah faktor-faktor yang menyebabkan harga barangan tidak turun. Kita akan mendapatkan penjelasan dan keterangan daripada pembekal dan pengeluar.
“Mereka boleh memberitahu mengapa tidak dapat menurunkan harga, apakah atas faktor lain dan jika boleh kita tangani, mungkin kita boleh bantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan wang ihsan mangsa banjir di Kampung Aur Gading, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.
Muhyiddin berkata, berikutan itu, beliau akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Kos Sara Hidup dalam tempoh terdekat bagi membincangkan secara lebih terperinci isu berkenaan.
Menurutnya, ini termasuk meneliti laporan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan agensi terlibat dari segi urusan melindungi pengguna, mengawal harga, sumber serta rantaian bekalan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh membuat andaian tentang isu itu sehingga mengetahui maklumat sebenar dan memperoleh data yang tepat.
“Ini kerana semua pihak hendak mengetahui cara untuk menurunkan kos sara hidup. Bantuan kerajaan berterusan tetapi harga barangan tidak turun seperti kita jangkakan,” katanya.
Tambah beliau, penting untuk melihat apa yang boleh dilakukan kerajaan untuk melindungi hak pengguna tetapi pada masa sama, terdapat aspek perlu difahami melibatkan pemborong dan pembekal.
Sebab itu, kata beliau, dalam isu tersebut, semua pihak tidak boleh bersikap terburu-buru dan emosional tetapi realistik.
“Pastinya harapan rakyat dengan harga minyak dan inflasi yang sudah turun, untuk itu bermakna harga barangan tidak patut kekal.
“Sudah pasti ada cara untuk menurunkannya dan persatuan-persatuan pengguna boleh memainkan peranan cara bagaimana berhemah berbelanja serta lain-lain,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/harga-barang-muhyiddin-minta-penjelasan-1.56555#sthash.1gvmePRO.dpuf
No comments:
Post a Comment