Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 11 February 2015

LIWAT : Bukan cerita politik – Muhammad Shafee

Kisah manusia dan perspektif badan kehakiman

11 Februari 2015 1:45 AM

PUTRAJAYA 10 Feb. - Kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan bukanlah cerita mengenai politik tetapi mengenai cerita manusia dan perspektif badan kehakiman.

Muhammad Shafee Abdullah

Peguam kanan pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, semua ini adalah cerita tentang semua manusia tanpa mengira kuasa, mereka adalah sama rata di sisi undang-undang.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab kepada mangsa, lelaki muda yang merupakan pembantu peribadi Anwar, yang mendapat perhatian dalam negara dan antarabangsa disebabkan kesilapan yang bukan dilakukan olehnya.

“Sepertimana kesemua mangsa jenayah berat, beliau mempunyai hak untuk melihat aduannya disiasat dengan teratur oleh pihak polis dan mahkamah,” katanya ketika membacakan kenyataan pihak pendakwaan dalam sidang media di luar Mahkamah Persekutuan di sini.

Anwar hari ini gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful dan mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhi Mahkamah Rayuan.

Keputusan itu dibuat oleh lima anggota panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Muhammad Shafee turut meminta pihak media melihat kepada fakta kes dengan adil, menganalisis penghakiman dengan teliti serta menjalankan perkara ini dengan sebaik mungkin demi masyarakat.

“Saya risau dengan segelintir pihak media yang menganggap mahkamah di Malaysia bertindak dengan adil hanya apabila keputusan mahkamah memihak kepada Anwar Ibrahim dan mendakwa sistem kehakiman kita telah dikompromi apabila mahkamah memberikan keputusan yang sebaliknya,” katanya.

Muhammad Shafee yang ber­pu­as hati dengan keputusan hari ini ba­gaimanapun berkata: “Ia tidak memberikan saya kegembiraan - kehi­dupan seorang pemuda telah dimusnahkan, berubah selama-lamanya.

“Lebih buruk lagi, tanpa berselindung, mangsa berhadapan dengan sesi pemeriksaan balas selama tujuh hari dan kesemua pasukan penguam bela Anwar Ibrahim boleh menyoal balas beliau,” kata­nya dengan menambah, yang proses keadilan telah memburukkan lagi penderitaan Mohd. Saiful.

Muhammad Shafee yang dilan­tik sebagai ketua pendakwaan pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga ke peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan berkata, manakala Anwar enggan berdepan dengan pemeriksaan balas dan memilih hanya memberi secebis ke­nyataan dari kandang tertuduh.

Beliau menganggap tugas tersebut sebagai suatu yang sangat sukar kerana apa yang menjadi kebiasaan bagi suatu kes biasa serangan seksual oleh majikan terhadap pekerjanya telah digunakan sebagai medan untuk menyerang reputasi badan kehakiman.

“Jadi saya menyeru kepada semua yang berfikiran adil di Malaysia dan di luar negara untuk mempertimbangkan dengan teliti sebelum membuat sebarang pendapat, dan untuk meneliti semula keterangan sebenar di dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata, setiap penghakiman yang dibuat berdasarkan fakta dan contohnya keterangan DNA, yang Malaysia mempunyai dua ciri utama dalam aspek penyiasatan DNA iaitu pertama, memerlukan 16 bacaan yang sepadan dan kedua tiada perundangan di negara ini yang mewajibkan seseorang untuk memberikan sampel DNA.

“Tiada negara yang menuntut keperluan yang lebih tinggi. Uni­ted Kingdom dan Amerika Syarikat membenarkan keperluan bacaan yang lebih rendah. Kesemua bacaan DNA yang menyokong kes ini adalah berpadanan dengan bacaan 16 daripada 16 iaitu dalam erti kata lain ia padanan sempurna.

“Dan kesemua DNA adalah didapati daripada ‘semen’, yang mana lebih dipercayai berbanding DNA yang didapati daripada peluh. Anda tidak boleh curi, palsukan atau mencemarkannya,” kata beliau.

Muhammad Shafee berkata, apabila Anwar mencabar sampel pihak pendakwaan di mahkamah, beliau mempunyai peluang untuk menawarkan sampel beliau sendiri sebagai suatu keterangan.

“Jika benar beliau tidak bersalah, beliau boleh berbuat demikian dan menutup kes ini serta-merta. Namun beliau memilih untuk tidak berbuat apa-apa,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, notis alibi Anwar yang pada mulanya merupakan suatu notis yang menyeluruh dan telah dibuktikan palsu melalui rakaman CCTV yang dita­yangkan kepada mahkamah, dan ini telah dibuktikan lama dahulu.

Selain itu, katanya, Anwar enggan bersumpah dengan al-Quran menge­nai kejadian tersebut, sementara Mohd. Saiful telah bersumpah dengan al-Quran mengenai butir kejadian itu di Malaysia dan juga di Mekah yang merupakan tanah suci Islam.

“Kes seperti ini di mahkamah ter­tinggi di Malaysia adalah terlalu teknikal. Dalam proses undang-undang sedia ada dan dalam aspek keterangan, terdapatkah kemungkinan di mana proses sewajarnya tidak diikuti? Terdapatkah sebarang teknikaliti?

“Pada hari ini, jawapan daripada hakim-hakim adalah tidak. Pada hari ini, mereka memutuskan pada keputusan yang telah dibuat serta keterangan yang telah lama diuji dan dibentangkan,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, tu­duhan besar yang sering diulang Anwar adalah kes ini mempunyai motif politik, namun berdasarkan keputusan hari ini tuduhan tersebut adalah palsu.

“Tiada sesiapa pun yang boleh menetapkan, mengolah dan memutar belit suatu proses perundangan yang mantap dan menyeluruh, termasuk keputusan yang memihak kepada Anwar. Tindakan bermotifkan politik di sini hanyalah Anwar dan penyokongnya yang menuntut agar kes ini digugurkan,” katanya. – BERNAMA

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/bukan-cerita-politik-8211-muhammad-shafee-1.58334#sthash.QLPeyuSO.dpuf


No comments: