11 Februari 2015 1:43 AM
PUTRAJAYA 10 Feb. – Pada awal ‘rayuannya’, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat seperti masih dalam keadaan terkedu dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan dengan suaranya yang serak dan tertahan-tahan, Ketua Pembangkang itu mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak bersalah.
Namun, segalanya berubah sekelip mata apabila Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bertukar sikap dan mula menyelar institusi kehakiman tersebut yang didakwanya sebagai ‘rakan subahat’ dalam membunuh kebebasan kehakiman dan integriti.
Anwar juga mendakwa bahawa panel hakim tersebut telah ‘menjual’ jiwa mereka kepada syaitan sebagai tukaran dalam mendapatkan pulangan dan kedudukan.
“Anda (panel hakim) mempunyai peluang untuk menebus diri sendiri, membetulkan yang salah dan meletakkan semula kehakiman di tempat yang tinggi dan melakar nama sebagai pejuang keadilan. Namun anda telah memilih untuk terus berada di sisi yang gelap dan bergelumang dengan penipuan dan muslihat,” kata Anwar.
Ekoran kenyataan tersebut; Ketua Hakim Negara menegur dan bertanyakan mengenai relevannya ‘rayuan’ terbabit dengan rayuan bagi mengurangkan hukumannya.
Pada ketika ini, peguam bela utama Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon agar mahkamah memberikan anak guamnya hak untuk terus mengemukakan rayuan.
“Beliau (Anwar) ada hak untuk merayu tetapi bukannya mengutuk mahkamah,” kata Hakim Arifin.
Pada ketika ini, Anwar masih meneruskan ‘rayuannya’ tanpa menghiraukan teguran panel hakim menyebabkan hakim-hakim bersidang meninggalkan dewan mahkamah bagi membuat keputusan mengenai tempoh hukuman penjara.
Sungguhpun begitu, Anwar tetap meneruskan ‘rayuannya’ dengan lantang dan berjanji dengan bersaksikan Allah bahawa beliau tidak akan diam, akan terus berjuang bagi kebebasan dan keadilan serta tidak akan menyerah kalah.
Selesai ‘rayuannya’, beberapa penyokong Anwar mula melaungkan perkataan ‘Reformasi’ dan takbir di dalam dewan mahkamah berulang kali.
Anwar kemudian berpusing ke arah galeri awam dan mula memeluk isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya yang menangis teresak-esak.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/tidak-puas-hati-anwar-kritik-mahkamah-1.58323#sthash.S516SLOo.dpuf
No comments:
Post a Comment