KAMIL MASLIH | 12 Februari 2015 1:48 AM
2508 3 Google +3
ULASAN John Preston tentang Anwar Ibrahim dalam Facebook, semalam
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Ulasan seorang pengguna Facebook yang berbangsa Inggeris menjadi viral dalam media sosial kerana menyokong hujah hukuman penjara dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Bagi pengguna Facebook berkenaan, John Preston, Anwar telah diberi peluang untuk memberi keterangan bersumpah bagi membela dirinya di mahkamah namun kesempatan itu langsung tidak digunakan.
“Dia mempunyai mulut yang besar (banyak bercakap) di luar mahkamah tetapi di dalam mahkamah, dia tidak berkata apa pun.
“Ia banyak mengkritik sistem perundangan namun penjara sebenarnya penuh dengan mereka yang mendakwa mereka tidak melakukan (kesalahan),” kata pengguna Facebook itu dalam kiriman media sosial yang tersebar meluas hari ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Anwar terhadap kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari dan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara lima tahun terhadapnya.
Menurut Preston, banyak fakta yang menyabitkan Anwar kepada sabitan bersalah itu termasuk keengganan Anwar untuk bersumpah dengan kitab suci al-Quran.
“Daripada apa yang saya baca, Anwar telah menarik balik saksi alibinya kerana ada bukti kamera litar tertutup (CCTV) yang akan menyangkalnya... bukti DNA (asid deoksiribonukleik) juga 100 peratus berpadanan,” katanya.
Katanya, Anwar perlu menjalani hukuman itu dan beliau berharap Anwar berhenti untuk menjatuhkan lagi kedudukan Malaysia.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/rakyat-asing-ulas-kes-anwar-jadi-viral-1.58658#sthash.oy4wGZci.dpuf
AS, Australia tidak perlu tunjuk pandai
ANALISIS
ZULKIFLEE BAKAR | 12 Februari 2015 1:48 AM
SEPERTI diduga Amerika Syarikat (AS) dan Australia kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mendapati Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd.Saiful Bukhari Azlan.
Mereka mempersoalan keputusan itu dan mengaitkannya dengan soal kebebasan kehakiman serta kedaulatan undang-undang di negara ini. Ternyata kedua-dua negara masih lagi bersikap jahil dan jumud dalam memperkatakan soal tersebut.
Ternyata sekali, kenyataan yang dibuat hanya berlandaskan kepada emosi semata-mata dan bukannya berdasarkan kepada fakta. Apakah pada pandangan mereka hanya Anwar didapati tidak bersalah sahaja sistem kehakiman negara ini dianggap bebas dan kedaulatan undang-undang ditegakkan?
Anwar bukannya dihukum secara membuta tuli tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta kes seperti mana yang tertera dalam penghakiman yang dibacakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria. Malah kalau mahu dikaji kes Anwar boleh dianggap paling unik dalam sejarah undang-undang negara apabila kes itu berlanjutan selama 6 tahun, 5 bulan, 10 hari dengan penangguhan sebanyak 115 kali dan 18 kali rayuan permohonan.
Malah Anwar juga diberi peluang untuk membela diri dengan seluas-luasnya apabila diwakili oleh 14 peguam yang mempunyai latar belakang hebat-hebat belaka. Sepatutnya sebelum AS dan Australia membuat apa-apa hujah mereka perlu satu demi satu fakta kes tersebut. Kaji secara mendalam barulah membuat ulasan.
Tetapi sudah menjadi dasar kedua-dua negara itu, mereka mahu orang lain mengikut apa kehendak mereka apatah lagi jika seseorang itu mempunyai hubungan baik dengan mereka. Namun tindakan AS dan Australia yang seolah-olah mahu mengajar negara ini soal kebebasan kehakiman dan hak asasi manusia ibarat ‘ayam berkokok kuat tetapi ekor bergelumang dengan najis’.
Oleh itu, tidak payahlah kita memeningkan kepala memikirkan keceluparan kedua-dua negara itu untuk mencampuri urusan dalaman negara ini. AS dan Australia sepatutnya belajar untuk menghormati kedaulatan negara ini.
Jangan cuba tunjuk pandai untuk mengajar negara ini bagaimana untuk menegakkan keadilan. Banyak lagi kes-kes di kedua-dua negara itu yang menunjukkan mereka tidaklah sehebat mana dalam soal hak asasi manusia. Kita tidak perlu sebut kes, semua orang tahu. Justeru tindakan mereka juga ibarat ‘tunding kain orang lain terkoyak kain sendiri sudah terlondeh.’’
Apa yang penting AS dan Australia perlu belajar lagi untuk menentukan apakah hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman hanya terpakai untuk pemimpin-pemimpin pembangkang di negara ini sahaja sehingga nasib rakyat kecil seperti Mohd.Saiful Bukhari tidak perlu diambil kira?
Jika AS dan Australia berasa kecewa dengan keputusan mahkamah, majoriti rakyat negara ini lebih kecewa kerana kedua-dua negara itu masih belum mahu belajar erti menghormati kedaulatan undang-undang negara lain dan akibat sikap itulah banyak negara Islam porak-peranda kerana mereka!
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/as-australia-tidak-perlu-tunjuk-pandai-1.58657#sthash.yfqOYNQX.dpuf
No comments:
Post a Comment