Pemimpin dihukum penjara kesalahan jenayah seksual
11 Februari 2015 1:45 AM
Anwar Ibrahim ditemani isteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan ahli keluarga ketika hadir bagi mendengar keputusan rayuan akhir kes liwat terhadap Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, semalam.
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Hukuman penjara terhadap pemimpin politik atas kesalahan jenayah seksual termasuk meliwat sebagaimana yang dihadapi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah satu perkara luar biasa.
Sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun berkuat kuasa hari ini terhadap Anwar selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, puluhan pemimpin dunia pernah dijatuhkan hukuman yang serupa.
Dua kes yang mencuri tumpuan ialah hukuman yang dikenakan kepada bekas Presiden pertama Zimbabwe, Canaan S. Banana pada 1998 akibat meliwat dan seorang negarawan Israel, Moshe Katsav akibat merogol dan melakukan serangan seksual pada 2007.
Banana yang merupakan seorang paderi didapati bersalah atas 11 pertuduhan meliwat pembantu peribadinya, Jeff Dube dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun manakala Katsav dikenakan hukuman penjara tujuh tahun.
Kedua-dua pemimpin berkenaan mendakwa pertuduhan itu adalah konspirasi politik namun mahkamah membuat keputusan bersandarkan kepada persoalan pokok iaitu bukti kepada perlakuan, bukannya didorong sentimen lain.
Anwar juga tidak terkecuali membuat dakwaan yang sama kononnya pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik sehingga para penyokongnya menjulang beliau sebagai wira rakyat.
Sedangkan, pendakwaan terhadap Anwar dibuat berikutan terdapatnya pengadu iaitu Mohd. Saiful Bukhari. Jadi, apa yang luar biasanya hukuman terhadap Anwar itu?
Malah, ramai yang melihat perkara yang sebenarnya luar biasa ialah apabila mahkamah memberikan ruang yang luas kepada Anwar melalui 115 penangguhan yang sebahagian besarnya dipohon oleh Ketua Pembangkang itu sepanjang enam tahun, lima bulan dan 10 hari perjalanan kes liwat bagi memastikan keputusan yang benar-benar adil dapat dibuat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bukan-luar-biasa-1.58332#sthash.RBVpJlJ3.dpuf
No comments:
Post a Comment