16 Februari 2015 2:11 AM
ISMAIL SABRI YAAKOB (bertanjak) disambut penyokong-penyokongnya ketika tiba untuk taklimat Gerak Kerja Biro Keahlian dan Pendaftaran Pengundi UMNO Bahagian Bera di Dewan Majlis Daerah Bera, Padang Luas, semalam. – UTUSAN/ AHMAD ZAKKI JILAN
BERA 15 Feb. – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap kes kenyataannya tentang isu harga barangan selesai dengan tumpuan seharusnya diberikan terhadap usaha menangani isu tersebut.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, beliau percaya dalam kalangan pemimpin MCA dan Gerakan juga akan akur dengan keputusan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu mahu kes berkenaan diselesaikan.
Kata beliau, Kabinet bersetuju polemik melibatkan perkauman perlu dihentikan kerana isu besar sekarang yang perlu diberi perhatian ialah harga barangan tidak turun dan pengguna sepatutnya menggunakan kuasa mereka untuk menurunkannya.
“Saya juga hendak memberitahu bahawa apabila pengguna mengunakan kuasa, bukan bermakna boikot semata-mata tetapi mereka perlu bijak membuat pilihan. Misalnya sekarang pasar tani menawarkan harga yang murah daripada tempat lain, jadi beralihlah kepada pasar tani, itu kuasa pengguna sebenarnya.
“Sebab itu Kabinet kata memanjangkan isu ini (kenyataannya) tidak selesaikan masalah harga barangan, sepatutnya fokus utama diberikan kepada penurunan harga barangan,” katanya selepas taklimat gerak kerja Biro Keahlian dan Pendaftaran Pengundi UMNO Bahagian Bera di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin merangkap Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO negeri dan Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Roslin Abdul Rahman.
Sebelum ini, beliau dilaporkan kesal kerana kenyataannya tentang isu harga barangan telah menimbulkan sentimen perkauman dan memberitahu bahawa komen menerusi laman Facebook rakannya pada 1 Februari lalu itu dibuat secara tertutup, namun menjadi viral dan disalahtafsirkan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pembangkang kini dilihat cuba memanipulasikan isu harga barangan tidak turun selepas penurunan harga minyak petrol dan diesel demi kepentingan politik mereka.
“Pada hari ini apabila harga minyak turun, harga barangan tidak turun, kita tidak dengar pun suara mereka (pembangkang) minta peniaga menurunkan harga barangan,” tegasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/anggap-kes-selesai-ismail-sabri-1.60190#sthash.t5Fmb1eH.dpuf
No comments:
Post a Comment