SABTU, 14 FEBRUARI 2015 @ 11:27 PM
Oleh Syed Riduan Ahmad/Mohd Amin Jalil/Asrol Awang.
KUALA LUMPUR: Mohamadou Sumareh muncul wira Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jaringan tunggal pada lewat babak permainan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0 dalam saingan Liga Super, malam ini.
Gol hasil gerakan solo daripada pemain import dari Gambia itu menyusul pada minit ke-76 dalam saingan menarik di Stadium Shah Alam untuk menyentap cabaran Harimau Selatan yang hadir dengan niat memburu kemenangan buat mencari penawar duka.
Perak dan Sarawak turut ceria merakamkan kemenangan masing-masing. Perak menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 manakala Sarawak garang di Kuching menewaskan Terengganu 3-1.
Kemenangan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu menyaksikan Perak memintas kedudukan Lions XII dari Singapura selaku pendahulu liga di persada Liga Super.
Dua gol skuad 'The Bos Gaurus' disumbang oleh kapten pasukan, Mohd Nasir Basharuddin pada minit ke-21 dan Muhammad Nurridzuan Abu Hassan pada minit ke-53.
Apa pun, kedudukan berkenaan dijangka berubah apabila Kelantan menerima kunjungan Lions XII pada aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Ahad.
Dalam perlawanan lain, Selangor bangkit untuk seri 1-1 dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Skuad Tok Gajah mendahului menerusi Matias Conti pada minit ke-58 tapi Andik Vermanshah menyamakan kedudukan untuk Selangor pada minit ke-64.
FELDA United turut ceria merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Sime Darby di Stadium MP Selayang.
Tiga gol skuad 'The Fighters' dijaring oleh Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-12, Makeche Ndumba (m-15) dan kapten pasukan, Muhammad Shukor Adan pada minit ke-77.
Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak mendahului menerusi jaringan Billy Mehmet Osman pada minit ketiga sebelum Ashri Chuchu menggandakan kedudukan, dua minit kemudian.
Penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel merapatkan jurang untuk pelawat pada minit ke-14 sebelum Joseph Kalang Tie mengesahkan kemenangan mutlak Sarawak pada minit ke-39.
PEMAIN JDT , Luciano Gabriel Figueroa (kanan) diasak pemain PDRM FC, Afif Amiruddin dan Kughebe Onoriode dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. . - Foto Osman Adnan
No comments:
Post a Comment