MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI | 06 Februari 2015 1:07 AM
PEMAIN tengah JDT, Hariss Harun (tengah) diraikan oleh rakan-rakan sepasukannya setelah dia menjaringkan gol pertama pasukannya ketika menentang Bengaluru FC dari India dalam perlawanan pusingan pertama kelayakan ACL di Johor Bahru kelmarin. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU - aksi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika menundukkan Bengaluru FC 2-1 ternyata bukan di tahap sebenar kemampuan Harimau Selatan yang memerlukan skuad Bojan Hodak itu bekerja lebih keras untuk berdepan perlawanan seterusnya.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, dia berbangga dengan kejayaan dilakar pemainnya, namun masih banyak yang perlu diperbaiki.
“Saya bangga dengan usaha dan kerja keras yang ditunjukkan mereka dalam perlawanan ini, tetapi masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.
“Jurulatih masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya yang ditemui selepas JDT berjaya melayakkan diri ke perlawanan kedua pusingan kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini kelmarin.
Perkara sama turut diakui Bojan sendiri dengan menyifatkan anak buahnya masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu diatasi sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam pertandingan itu.
Menurutnya, banyak peluang dicipta di hadapan pintu gol tetapi penyudah yang dicari gagal ditemukan, sekali gus memberi ruang kepada juara India itu mendapatkan jaringan penyamaan.
“Kami dihukum atas kesilapan sendiri pada minit terakhir perlawanan apabila pasukan lawan mendapatkan jaringan penyamaan, saya mengakui perkara itu harus diperbaiki.
“Tetapi secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan kematangan yang ditunjukkan pemain kerana dapat bangkit kembali untuk mendapatkan kemenangan walaupun diheret ke masa tambahan,” katanya.
Tambah Bojan, situasi sedemikian memberi impak positif kepada para pemain, sekali gus meningkatkan lagi mutu permainan mereka dalam aspek fizikal, mental dan juga teknikal.
- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-tmj-belum-puas-hati-8217-1.56411#sthash.L26Rd9Um.dpuf
No comments:
Post a Comment